Lawatan PM akan perkukuh hubungan dua hala, kerjasama ekonomi Malaysia-Qatar – Duta
DOHA, 27 Mac – Hubungan dua hala serta kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Qatar dijangka diperkukuh lagi menerusi lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar bermula hari ini hingga 29 Mac ini.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan berkata telah tersedia beberapa mekanisme bagi mencapai kedua-dua objektif itu, yang pertama dengan penubuhan Kedutaan Malaysia di Doha pada 2004 diikuti penubuhan Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Qatar dan Malaysia pada 2018 serta Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Malaysia-Qatar pada 2019.
“Mekanisme terkini adalah pertemuan dan perbincangan di peringkat paling tinggi antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sendiri pada 29 Mac nanti,” katanya kepada media Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata ketika pertemuan itu nanti, Perdana Menteri dijangka menyampaikan komitmen Malaysia serta mendengar dan mendapatkan maklum balas Qatar untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Lawatan ini juga penting kerana ada banyak yang perlu dilihat dalam hubungan Malaysia dan Qatar, terutamanya dalam usaha pemulihan pascapandemik.
“Malaysia dan Qatar masing-masing ada strategi untuk mengawal penularan COVID-19. Walaupun jumlah kes masih tinggi, program vaksinasi dan pemberian dos penggalak membolehkan pandemik dikekang.
“Dalam hal ini, Qatar mungkin lebih awal dapat mengawal pandemik tersebut kerana program vaksinasinya yang sangat agresif,” katanya.
Penganjuran Forum Doha edisi ke 20 pada 26 dan 27 Mac serta Kongres FIFA ke-72 pada 31 Mac adalah bukti kepada kesediaan dan kejayaan Qatar dalam mengekang penularan COVID-19.
Menurut Zamshari, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dengan Qatar kerana negara ini mencatat pertumbuhan ekonomi antara empat dan lima peratus dengan kadar pendapatan per kapita yang paling tinggi di dunia, di samping pembangunan pesat dalam bidang pembinaan sebagai persediaan menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Dunia November ini.
“Qatar mempunyai kekuatan ekonomi untuk kita sama-sama manfaatkan dari segi peluang-peluang pelaburan seperti bidang pembinaan.
“Untuk Piala Dunia sahaja, terdapat satu syarikat Malaysia yang sudah mendapat peluang untuk ubah suai satu daripada stadium yang akan digunakan. Jadi, mungkin ada syarikat-syarikat Malaysia yang boleh cuba teroka bidang lain,” katanya.
Zamshari berkata Qatar adalah rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencapai AS$0.8 bilion pada 2019 namun berkurang kepada AS$0.5 bilion dan AS$0.63 bilion pada 2020 dan 2021 akibat penularan COVID-19.
“Diharap dengan lawatan Perdana Menteri ini, nilai dagang antara kedua-dua negara ini akan kembali ke AS$0.8 bilion atau lebih lagi,” katanya.
Semasa lawatan ke Qatar, Perdana Menteri akan turut mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha.
Delegasi Malaysia akan turut dianggotai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.