Sorting by

×

Lawatan Muhyiddin lonjak hubungan Riyadh-KL ke tahap lebih kukuh

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

RIYADH 9 Mac – Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al-Saud percaya lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negara itu akan melonjak hubungan dua hala Riyadh-Kuala Lumpur ke tahap yang lebih kukuh pada masa depan.

“Adalah penting untuk kita mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bukan sahaja demi kepentingan kedua-dua negara tetapi juga dunia Islam secara keseluruhan,” katanya kepada media Malaysia di kementeriannya di sini semalam.

Beliau juga menyifatkan lawatan Muhyiddin itu akan memberi penuh bertenaga kepada hubungan tersebut.

Muhyiddin kini dalam lawatan rasmi empat hari ke negara itu bermula Sabtu lalu.

Putera Faisal berkata kedua-kedua negara mahu menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi yang akan membantu menginstitusikan kerjasama itu dan bukannya bergantung kepada kerjasama tertentu sahaja.

“Kami kini mempunyai proses institusi yang kukuh yang akan memberikan hasil untuk kedua-dua negara dan memastikan kita membuat tindakan susulan mengenai peluang ini,” katanya.

Katanya, terdapat banyak peluang antara kedua-dua negara, contohnya, dalam bidang pelaburan, suruhanjaya bersama, pendidikan dan pembangunan saintifik.

Menurutnya, mekanisme itu akan membantu mereka membuat susulan mengenai perjanjian dan perbincangan yang telah dipersetujui supaya dapat meneruskan momentum kukuh dalam hubungan dua hala.

Mengenai memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai oleh kedua-kedua negara hari ini, Putera Faisal berkata ia termasuk Perkhidmatan Jalan Raya Makkah yang akan memudahkan jemaah haji dari Malaysia melawat negara itu dengan menyelesaikan proses imigresen Arab Saudi di Malaysia.

Menteri Luar itu turut menyentuh peranan yang boleh dimainkan oleh kedua-dua negara itu dalam membantu umat Islam dan memerangi Islamofobia.

“Dalam dunia hari ini, kami sangat tercabar dalam semua bentuk diskriminasi, kebencian dan salah faham dan salah satu sasaran itu adalah umat Islam,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara ini boleh membantu masyarakat global untuk memahami bahawa Islam adalah kuasa untuk kebaikan dan keamanan.

“Dalam hal ini, Malaysia telah menjadi pemimpin kerana menonjolkan sikap toleransi dan kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran Islam. Ini sama dengan Arab Saudi.

“Kami boleh membantu mengukuhkan mesej bahawa umat Islam bersatu demi keamanan dan kemajuan. Kami bersedia bekerjasama dengan semua orang dari pelbagai agama dan kepercayaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post Permohonan IPTA, ILKA bagi sesi akademik 2021/2020 dikecualikan bayaran UPUOnline
Next post ‘Saya seperti mati hidup semula’
Ubah saiz-+=