
Lawatan Menteri Kesihatan pantau situasi semasa Hospital Melaka
AYER KEROH 19 Julai – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengadakan lawatan ke Hospital Melaka bagi melihat keadaan dan situasi semasa hospital berkenaan yang semakin kritikal, malam tadi.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata lawatan itu termasuklah memfokuskan beberapa perkara utama membabitkan fasiliti hospital.

“Ada tiga perkara yang diketengahkan seperti masalah pertama bekalan elektrik, kedua bekalan oksigen buat pesakit dan ketiga masalah kekurangan petugas kesihatan di hospital.
“Kita sedia maklum hampir keseluruhan kawasan hospital ini sudah menjadi lokasi merawat pesakit COVID-19 sehingga terpaksa membuka khemah di luar hospital.
“Semoga dengan lawatan ini dapat mempermudahkan segala kelulusan keputusan dan dana yang diperlukan oleh Hospital Melaka untuk terus beroperasi mengharungi pandemik ini,” katanya ketika dihubungi MHI.
Pada lawatan itu Dr Adham berkesempatan melihat sendiri wad unit rawatan rapi (ICU) serta wad-wad pesakit di Hospital Melaka.
Lawatan tersebut bermula pada jam 9.30 malam dan selesai pada jam 11 malam yang turut dihadiri beberapa pegawai kesihatan Hospital Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.