Sorting by

×

Lautan umat Islam banjiri Dataran Sejarah Ayer Keroh sempena Malam Cinta Rasul

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 30 Disember – Lautan umat Islam memenuhi Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, malam ini, bersempena Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah.

Program yang diadakan bersempena ketibaan tahun baharu 2023 dan Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 itu dihadiri kira-kira 80,000 umat Islam dari seluruh Negeri Melaka.

Seawal jam 5 petang lagi, Dataran Sejarah Ayer Keroh mula dibanjiri umat Islam yang hadir, sambil diiringi tayangan montaj dan disusuli bacaan Ratib al-Attas serta Asma’ul Husna.

Selepas itu, orang ramai menunaikan solat Maghrib berjemaah di padang dataran tersebut yang diimamkan Sheikh Abdul Karim Al-Makki.

Ia kemudiannya diikuti dengan Zikir Munajat bersama jemaah dan penceramah yang hadir.

Malam kerohanian itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.

photo1672410672 (1)
YANG di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hadir ke Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah bersempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 dan Ulang Tahun Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Foto Iqmal Haqim Rosman

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; serta Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh

Turut bersama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Pada majlis itu turut diadakan bacaan maulid dan qasidah oleh Ustaz Al Habib Syech, disusuli penyampaian Tausiah oleh Ustaz Wadi Annuar.

Majlis tersebut diakhiri dengan Mahallul Qiyam dan doa khatam.

Terdahulu, umat Islam daripada segenap lapisan umur dan latar belakang turut sama pada majlis yang diadakan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5982
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki berikat
Next post Pesta Bunga Melaka bakal dijadikan acara tahunan
Ubah saiz-+=