Lautan manusia banjiri ceramah Ustaz Abdul Somad

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PAYA RUMPUT 6 Julai – Lautan manusia membanjiri Stadium Hang Jebat, di sini, bagi mendengar Ceramah Perdana Maal Hijrah yang disampaikan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad.

Ceramah itu diadakan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Meskipun hujan renyai membasahi stadium kira-kira setengah jam, namun pengunjung sama sekali tidak berganjak untuk mendengar ceramah istimewa yang dibawakan khas di bumi bersejarah sempena ketibaan tahun baharu 1446 Hijriah.

Majlis Ilmu itu merupakan antara pengisian utama program, selain bacaan yasin, bacaan doa akhir dan awal tahun serta solat maghrib berjemaah di stadium berkenaan.

Sambutan pada malam itu meraikan 15 penerima menerima Anugerah sempena sambutan Maal Hijrah disampaikan Ab Rauf.

Antara tokoh dan anugerah yang diraikan adalah Anugerah Fatimah Az-Zahra (Tokoh Ibu Inspirasi); Anugerah Uwais Al-Qarni (Tokoh Tunas Harapan); Anugerah Abdullah Bin Ummi Maktum ( Tokoh Warga Istimewa); Anugerah Ibnu Uraiqith (Tokoh Non-Muslim) dan Anugerah Abdurrahman Bin Auf (Tokoh Usahawan Islam)

Selain itu, Anugerah Salman Al-Farisi (Tokoh Aktivis Muslim); Anugerah Bilal Bin Rabah ( Tokoh Pegawai Syarak); Anugerah Imam As-Syafie (Tokoh Pentadbir Masjid); Anugerah Ali Bin Abi Talib (Tokoh Belia Islam); Anugerah Mu’adz Bin Jabal (Tokoh Penggerak Masyarakat); Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yassir (Tokoh Keluarga Mithi); Anugerah Hisbah (Tokoh Agensi Penguatkuasaan); Anugerah Umar Bin Abdul Aziz (Tokoh Perkhidmatan Awam); Anugerah Abu Bakar As-Sidiq (Tokoh Maal Hijrah) dan Anugerah Murabbi Nusantara.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati kawasan stadium mula dibanjiri umat Islam sejak jam 5.30 petang bagi bersama memeriahkan sambutan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

46074
Kongsi :
Previous post Melaka beri Anugerah Murabbi Nusantara kepada Ustaz Abdul Somad
Next post Melaka perluas program berlandaskan nilai Islam – KM
Ubah saiz-+=