Sorting by

×

Laut bergelora tenang terima 2.5 tan abu al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PANTAI KUNDOR 15 Okt. – Lautan yang pada mulanya bergelora bertukar tenang apabila menerima 2.5 tan abu al-Quran berbentuk kiub yang dilupuskan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di perairan Melaka, pagi tadi.

Majlis pelupusan yang dilakukan secara tertib itu telah disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md. Rawi Mahmud dan telah mendapat kerjasama Jabatan Laut Malaysia, Pelabuhan Tanjung Bruas, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Md. Rawi ketika ditemui pemberita berkata, program pelupusan dan pembuangan abu al-Quran itu merupakan kali kedua diadakan di negeri ini selepas kali terakhir dilakukan pada 2017.

Menurutnya, proses pembuangan abu berkenaan telah dilakukan kira-kira 20 batu nautika dari Pelabuhan Tanjung Bruas iaitu berhampiran Pulau Panjang dengan kedalaman 40 meter.

“Sisa-sisa Al-Quran ini telah dikumpul selama setahun iaitu dari 2019 hingga sekarang sebelum dibakar menggunakan relau pembakaran al-Quran yang terdapat di Masjid Al-Ghaffar, Jasin.

“Selepas dibakar selama kira-kira lapan jam, abu tersebut akan dijadikan bentuk kiub menerusi beberapa proses dan seterusnya seperti yang kita lakukan hari ini kita akan melepaskan atau membuangnya ke laut dengan selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Md. Rawi berharap proram yang dilaksanakan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat khususnya di negeri ini mengenai kepentingan menjaga kesucian Al-Quran.

“Mungkin ada yang tidak mengetahui cara pelupusan. Selama ini bila al-Quran rosak, mungkin ada yang sewenang-wenangnya buang seperti kertas biasa. Begitu juga dengan poster atau bunting yang mempunyai ayat al-Quran. Ia tidak boleh dicampak merata-rata.

“Jadi, diharap dengan apa yang dilakukan JAIM ini dapat membuka mata rakyat mengenai pentingnya menjaga kesucian Al-Quran. Kalau bukan kita, siapa lagi nak jaga,” katanya lagi.

Views:

987
Kongsi :
Previous post Bayangan pengganti ‘Speedy Jantan’ masih samar-samar
Next post COVID-19: Kanak-kanak tiga tahun antara dua kes terbaharu di Melaka
Ubah saiz-+=