Sorting by

×

Laungan azan subuh jentik hati peluk Islam

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KESIDANG 28 April – “Apabila dapat kumpul beramai-ramai seperti ini terasa nikmat kemeriahan Aidilfitri walaupun kami datang dari pelbagai bangsa,” kata seorang mualaf Nurul Hidayah Abdullah.

Menurut Nurul Hidayah, 40, selepas memeluk Islam sejak 10 tahun lalu, Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf sentiasa dinanti-nantikannya.

Dia yang berasal dari Sarawak mengakui bukan mudah untuknya menempuh pelbagai dugaan selepas mengambil keputusan mengucap dua khalimah syahadah.

Namun, berkat sokongan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan pelbagai pihak lain, dia tidak berasa terpinggir, malah lebih dihargai.

“Alhamdulillah walaupun bersendirian jauh daripada keluarga namun saya dihadirkan dengan ‘keluarga baharu’ yang begitu baik dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

“Setiap tahun saya akan luangkan masa untuk hadir dan raikan Aidilfitri bersama rakan mualaf yang lain. Walaupun tiada sebarang pertalian tetapi kami bagaikan satu keluarga,” katanya.

Nurul Hidayah ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf Negeri Melaka 2024 yang turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan juga Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, di Kompleks Darul Huda, di sini.

Menceritakan bagaimana dia tertarik hati untuk memeluk Islam, pekerja sebuah hotel di Bandaraya Melaka itu berkata, laungan azan subuh yang didengari setiap pagi membuatkan dia ‘jatuh hati’.

“Setiap hari apabila pulang ke rumah selepas bekerja malam, saya terasa syahdu dan sebak apabila mendengar laungan azan yang merdu. Bagaikan ada sesuatu yang menarik hati saya tatkala mendengar laungan azan.

“Malah ditambah melihat kehidupan harian kawan-kawan beragama Islam, hidup mereka begitu teratur dengan solat lima waktunya malah apabila tibanya Aidilfitri kemeriahan itu sangat indah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post Bimbing koperasi masjid untuk aktif berniaga
Next post Gempa kuat bermagnitud 6.3 landa Jawa, Indonesia – MetMalaysia
Ubah saiz-+=