Sorting by

×

Latihan percuma 14 hari dapat RM2,000

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

PENGKALAN BATU 31 Oktober – Seramai 145 graduan anak Melaka menerima bantuan RM2,000 seorang sebagai bantuan pemula perniagaan yang ditawarkan menerusi program Penjana KPT-Cap di negeri ini setakat ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, menerusi program dianjurkan Institut Tun Perak (ITP) sebagai agensi pelaksana di negeri ini telah membuka peluang terbabit buat anak Melaka yang bergraduasi sekitar tahun 2019 hingga 2022.

Beliau berkata, pelbagai peluang diberikan menerusi kursus percuma selama 14 hari bagi membantu golongan itu mempertingkatkan kebolehpasaran graduan menerusi kemahiran sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

“Inilah tujuan utama Penjana yang dilaksanakan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendedahkan graduan dengan pelbagai kemahiran untuk memastikan kerjaya mereka dapat dibina sekali gus mengelakkan pengangguran berlaku.

“Seperti penganjuran di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC), mereka telah didedahkan dengan kemahiran usahawan tani dan percetakan dan diberi dana RM2,000 seorang setelah menamatkan kurusus 14 hari diadakan dan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam memajukan anak graduan untuk mereka mendapatkan tempat dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan program berkenaan mewakili Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin di dewan MISDEC, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, program yang diadakan memasuki edisi kelima tahun ini akan diteruskan pada Disember depan dengan menyasarkan seramai 200 graduan akan menyertai program berkenaan pada tahun ini.

photo_2022-10-31_17-48-33
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berucap pada Program Penjana KPT Cap@State 2022 sesi Kelima di Pusat Pembangunan dan Keusahawanan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Malah ujarnya, berbanding negeri-negeri lain program diadakan ini juga menawarkan pinjaman mikro kredit buat peserta namun di Melaka inisiatif tersebut dijadikan percuma buat anak jati negeri ini.

“Seperti negeri lain, peserta yang sudah berjaya menjalani kursus mereka akan diberikan kemudahan pinjaman untuk memulakan perniagaan tetapi di Melaka mereka tidak akan diberikan pinjaman namun kerajaan negeri akan menyediakan dana ‘one off’ buat mereka.

“Dana ini dihulurkan kepada anak Melaka menerusi Bajet Melaka 2022 dimana mereka diberikan RM2,000 secara terus untuk perniagaan mereka tanpa perlu membayar semula malah mereka juga akan terus diberikan elaun harian sebagai manfaat tambahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2950
Kongsi :
Previous post Agong jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan susulan di IJN
Next post Malaysia berdepan gelombang kecil COVID-10 susulan varian XBB
Ubah saiz-+=