Latihan atlet SUKMA Melaka tidak terganggu
AYER KEROH 2 Okt. – Latihan atlet kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Johor 2020 berjalan seperti biasa sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu pada tahun depan.
Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Tan Gek Chu berkata, biarpun beberapa program negeri ini ditangguhkan berikutan penularan COVID-19, bagaimanapun ia diteruskan dengan pengawasan dan kawalan ketat mengikut (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, latihan berjalan seperti biasa diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 11 Julai lalu bagi memberi fokus dan tumpuan atlet pada sukan dwitahunan itu.
“Minggu ini latihan dijalankan seperti biasa sebagai persediaan atlet bagi memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan stamina dan fokus dalam kejohanan yang disertai.
“Perkara ini perlu diteruskan namun kita tidak memberi tekanan kepada mereka dalam latihan ini disebabkan kekangan waktu untuk menjalankan latihan.
“Hal ini disebabkan latihan yang terpaksa mereka hadapi awal tahun lalu terpaksa dihentikan selama hampir tiga bulan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.
“Tiga bulan terhenti itu sebenarnya akan menjejaskan stamina atlet tapi kita tidak mahu tekankan perkara itu namun terserah kepada pelatih untuk meningkatkan tumpuan dan fokus mereka kepada latihan yang bersesuaian.
“Malah, sekiranya latihan ditangguhkan kaedah lain juga telah diambil menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan menjalankan latihan seperti biasa menerusi laman atas talian,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu menurutnya, pihaknya belum lagi menerima makluman terperinci berkaitan tarikh sebenar SUKMA yang bakal berlangsung di Johor itu.
“Satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi bersama KBS akan diadakan tidak lama lagi dan berkemungkinan pada Disember nanti barulah tarikh sebenar berhubung perlaksanaan SUKMA akan diumumkan,” katanya.
Pada 11 Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan atlet di negeri ini dibenarkan untuk menjalani latihan namun diingatkan untuk mengikut SOP ditetapkan.
Pengumuman itu membabitkan 577 atlet dari program Projek Emas dan Program Persediaan SUKMA (PPS) selain mereka turut boleh berlatih pada hari cuti umum.
Manakala, bagi atlet PARA SUKMA, seramai 120 atlet telah memulakan latihan di beberapa ‘venue’ (lokasi) bermula 15 Jun lalu.