Latih amal pelan tindakan kecemasan Empangan Kenyir pastikan kesiapsiagaan optimum
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir dari 26 hingga 29 Sept lepas merupakan program yang melibatkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sekiranya berhadapan dengan bencana berada pada tahap optimum.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini berkata orang awam dinasihatkan supaya tidak panik dan terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang mungkin disebarkan melalui media sosial berkaitan dengan latih amal itu, seperti yang tular baru-baru ini.
“NADMA selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal bagi meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.
“Semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi. Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” menurut kenyataan itu.
NADMA memaklumkan latih amal yang sama pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan beberapa empangan lain.
“Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah. Latih amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana,” katanya.
Menurutnya latih amal turut dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat, menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.