Lateks tingkat pendapatan penoreh dan pekebun kecil getah
TABOH NANING 22 Mac – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) mahu lebih ramai penoreh dan pekebun kecil getah menghasilkan susu getah cair atau lateks kerana ia mampu melonjakkan pendapatan mereka.
Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif menegaskan, sekilogram lateks bernilai lebih RM5 berbanding getah beku atau sekerap yang hanya RM2.80 berdasarkan harga semasa.
Katanya, pendapatan isi rumah penoreh dan pekebun kecil bakal meningkat kepada RM4,500 sebulan jika mereka menghasilkan lateks di kebun seluas dua hektar.
“Getah beku sekarang hanya berharga RM2.80 sekilogram berbanding lateks yang bernilai lebih RM5 tetapi tidak ramai yang mahu menghasilkan lateks kerana ia memerlukan banyak kerja berbanding getah beku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan zakat korporat RISDA kepada penuntut Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di Ayer Pa’abas, di sini hari ini.
Sumbangan itu adalah hasil daripada keuntungan diperoleh ladang RISDA di seluruh negara yang diuruskan RISDA Estates Sdn Bhd.
Yayasan RISDA dan RISDA Ventures Sdn Bhd (RVSB) memperuntukkan RM100,000 bagi memberikan sumbangan itu kepada lebih 300 penuntut terbabit.
Pada majlis itu, seramai 104 penuntut menerima sumbangan RM250 seorang daripada Yayasan RISDA, selain tiga penuntut menerima Skim Subsidi Makanan bernilai RM450 seorang.
RVSB menyampaikan sumbangan RM500 secara sekali terima kepada 45 penuntut fakir dan miskin, selain 175 penuntut kategori fisabilillah menikmati bantuan RM200.
Yang turut hadir, Pengerusi RVSB, Datuk Shaharuddin Muhammad Sidek; Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal dan Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan.
Mengulas lanjut Mohd Salim berkata, RISDA sedia menambah depoh pembelian susu getah cair atau lateks asalkan lebih ramai penoreh dan pekebun kecil menghasilkan produk itu.
Setakat ini RISDA mempunyai lapan depoh berkenaan di seluruh negara dan bersedia meningkatkan jumlahnya jika penoreh dan pekebun kecil sanggup beralih daripada getah beku kepada lateks.
“Terdapat 532,000 penoreh dan pekebun kecil di seluruh negara tetapi tidak ramai yang menghasilkan lateks kerana ia memerlukan tempoh kerja yang lebih lama berbanding getah beku.
“Lateks adalah bahan penting dalam pembuatan sarung tangan dan Malaysia adalah pengeluar produk berkenaan yang terbesar dunia,” katanya
Tambahnya, kawasan pengeluaran lateks setakat ini adalah di Gerik, Perak dan beberapa kawasan tertentu di Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.