Larian Budaya Duyong Kita pamer keunikan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 14 Disember – Kira-kira 1,000 individu dijangka turun padang untuk memeriahkan Larian Budaya Duyong Kita yang bakal diadakan pada 24 Disember ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem berkata, acara yang dijangka penuh dengan kejutan dan kelainan itu bakal menyaksikan peserta akan tampil bergaya mengenakan pelbagai kostum serta juga pakaian tradisional.

Jelasnya, acara yang julung kali diadakan pihaknya itu adalah anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan akan berlangsung di Tempat Letak Bas Perkampungan Hang Tuah, seawal jam 6.30 pagi.

“Untuk larian ini kita sasarkan penyertaan seramai 1,000 yang mana bukan sahaja tertumpu kepada penduduk sekitar Duyong tetapi juga untuk semua warganegara Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan akan membabitkan larian sejauh 3.2 kilometer.

“Menariknya acara ini peserta bukan hanya berlari atau larian biasa tetapi terdapat beberapa kelainan apabila daripada enam ‘pit stop’ yang disediakan tiga adalah akan disediakan makanan dan minuman manakala bakinya akan diadakan persembahan kebudayaan masyarakat Melayu, Cina serta India.

“Maksudnya ketika dalam perjalanan menghabiskan larian itu, peserta akan berhenti untuk menikmati makanan dan minuman disediakan di ‘pit stop’ kemudian sambung lagi dan berhenti untuk melihat persembahan sebelum tiba di garisan penamat,’ katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, menariknya lagi penyertaan Larian Budaya Duyong Kita juga adalah dibuat secara percuma malah peserta bertuah juga bakal membawa balik hadiah utama iaitu motosikal.

“Objektif penganjuran larian ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin bersama penduduk setempat jadi tiada bayaran dikenakan malah mereka yang berminat boleh mendaftar segera sehingga 20 Disember iaitu pada Rabu depan.

“Menariknya lagi selain disediakan hadiah untuk pakaian atau kostum paling kreatif sebanyak 100 hadiah turut disediakan bagi sesi cabutan bertuah antaranya barangan elektrik, kupon penginapan serta hadiah utama dua buah motosikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, penganjuran larian itu juga adalah antara sesi ‘pemanas badan’ sempena perasmian sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang akan berlangsung pada 31 Disember.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Kongsi :
Previous post Mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir jadi fokus KPT
Next post Hari Bertemu Rakyat akan diperluas tahun depan – KM
Ubah saiz-+=