LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA LEBIH LUAR BIASA TAHUN HADAPAN
DUYONG 22 Disember – Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita akan diangkat menjadi acara Kerajaan Negeri bersempena penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) pada tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, larian hasil cetusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem itu bukan sahaja berjaya dapat menyatu padukan rakyat malah mewujudkan semangat kebersamaan.
Katanya, menerusi larian yang dianjurkan itu kepelbagaian budaya turut ditonjolkan menerui persembahan kebudayaan.
“Kita akan angkat larian ini menjadi program Kerajaan Negeri bersempena WTD2025 dan WTC yang bakal berlangsung pada September tahun depan.
“Penganjuran itu nanti akan melibatkan lebih ramai peserta dari luar negara dan mereka akan memakai pakaian tradisi negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita 2024, di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Menurut Ab Rauf, penganjuran larian itu nanti pastinya akan lebih meriah dengan penambahbaikkan yang akan dilakukan.
“Larian itu nanti kita akan buat dengan lebih besar dan menarik lagi malah tengah-tengah Bandaraya Melaka akan menjadi lokasi larian,” katanya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, penganjuran Larian Budaya Antarabangsa Duyong Kita 2024 berjaya merekodkan seramai 7,475 penyertaan, sekali gus berjaya memecah rekod Malaysia Book of Records (MBR).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.