Lari berkebaya dapat kambing

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

DUYONG 24 Disember – “Memang tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk dapat hadiah kerana niat saya sertai larian ini hanya untuk suka-suka.

“Saya yang ketika itu sedang merakam siapa peserta bertuah yang bakal membawa pulang hadiah kambing. Tergamam seketika apabila pengacara menyebut nombor cabutan milik saya,” kata peserta Larian Budaya Duyong Kita hanya mahu dikenali sebagai Nurdanish.

Nurdanish diumumkan sebagai peserta bertuah larian dan membawa pulang seekor kambing jantan yang juga antara hadiah utama yang disediakan pada acara itu.

Terdahulu, Larian Budaya Duyong Kita itu disertai 2,000 peserta mengenakan pelbagai pakaian tradisional dan juga kostum animasi, malah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turut mengenakan kostum Superman serta berkain pelikat.

Menurut Nurdanish, dia menyertai larian itu bersama tiga ahli keluarga yang lain dan memilih persalinan kebaya sebagai pakaian larian.

“Ketika keluar rumah pagi tadi pun kami masing-masing tidak berharap sangat kerana tahu dengan penyertaan ramai sudah pasti sukar untuk menjadi antara yang bertuah.

“Tetapi sudah rezeki kambing itu milik saya. Sudah pastilah seronok apabila diumumkan sebagai peserta bertuah selain haiwan ternakan itu memang ditunggu ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, penganjuran larian itu sesuatu yang luar biasa dan Adun kawasan berjaya menganjurkan program amat hebat pada skala yang besar.

“Larian ini amat seronok, ia memberikan satu pengalaman dan suasana yang menarik untuk kami sekeluarga. Selain pelbagai ragam peserta yang berlari kami dapat lihat pelbagai persembahan termasuk silat.

“Malah dengan pelbagai makanan, minuman dan aiskrim disediakan membuatkan suasana itu lebih meriah. Meskipun tiada bayaran pendaftaran tetapi layanan diterima amat berbaloi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1776
Kongsi :
Previous post PDRM nafi buat sebaran mesej penipuan ‘Sim Swap’
Next post Lelaki warga asing maut selepas terlibat dalam pergaduhan di Penampang
Ubah saiz-+=