
LAPORAN PENUH KEROSAKAN JALAN KORBAN DUA BERADIK DI KLUANG DIPEROLEHI DALAM MASA TERDEKAT
AYER KEROH 26 Mac – Laporan penuh berhubung kerosakan Jalan Persekutuan mengorbankan dua beradik di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor, dijangka siap dalam masa terdekat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah mendapatkan maklumat awal mengenai kejadian tersebut, namun masih menunggu laporan rasmi untuk dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, syarikat konsesi yang menyelenggara jalan berkenaan serta pihak berkaitan.
Menurut beliau, perbincangan ini penting dan dijadikan sebagai ‘post-mortem’ untuk memahami punca kejadian serta mencari langkah penambahbaikan dalam aspek penyelenggaraan jalan.
“Sekarang, pembaikan kerosakan serta turap semula jalan sudah dibuat.
“Saya minta (laporan diperolehi) dalam masa terdekat, tidak perlu (makan masa) satu bulan pun, dalam dua-tiga hari ini, kalau boleh sebelum hari raya.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu tergesa-gesa kerana biarlah laporan yang disediakan itu ada integriti dan bukan semata buat sahaja, jadi berikan sedikit masa supaya laporan itu boleh dibuat dengan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan kerja ke Syarikat Konsesi Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan dua beradik berusia 17 dan 16 tahun maut ketika dalam perjalanan ke sekolah apabila motosikal ditunggang mereka terlanggar lubang di Jalan Sengkang-FELDA Inas-Bandar Tenggara.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, dipetik berkata kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya yang membonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala serta badan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.