Laporan penuh insiden tanah runtuh Batang Kali sudah siap – KKR
BANDA HILIR 11 Julai – Laporan penuh Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa sudah siap sepenuhnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan berkenaan bagaimanapun memerlukan ulasan dan pandangan daripada kementerian atau agensi berkaitan yang terlibat sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Berikutan itu katanya, beliau berharap pembentangan laporan penuh kepada Jemaah Menteri dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan ahli keluarga mangsa terjejas menyelesaikan beberapa urusan termasuk tuntuan insurans.
“Laporan di peringkat JKR sudah siap namun masih memerlukan ulasan serta pandangan daripada kementerian atau agensi berkaitan (insiden terbabit) berikutan kejadian di Batang Kali itu adalah jalan negeri, jadi laporan itu perlu kita buka kepada Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita sudah melaksanakan kerja kita, jadi kita majukan (laporan penuh) kepada agensi berkenaan yang lain dan kita berharap pihak berkaitan termasuk Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan maklum balas secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool.
Ketika ditanya mengenai tarikh laporan itu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Alexender berkata beliau tidak menetapkan tarikh tertentu namun ia bergantung kepada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan.
“Buat masa ini, saya tidak akan mendedahkan terperinci hasil laporan itu dan tiada masa tepat bergantung kepada respons agensi berkaitan, namun apa yang boleh dikatakan ia sudah siap sepenuhnya,” katanya.
Awal Jun lalu, media melaporkan kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 16 Disember tahun lalu menuntut siasatan telus bagi mendedahkan punca sebenar runtuhan.
Mereka mendakwa beberapa urusan tidak dapat diselesaikan termasuk berkaitan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan meskipun enam bulan insiden itu berlalu.
Dalam tragedi kira-kira jam 2.30 pagi itu, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 lagi terselamat ketika semua mangsa berada di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.