Sorting by

×

Lapor polis jika pemberian vaksin tidak telus – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TANGGA BATU 9 Jun – Segala dakwaan mengaitkan pemberian vaksin yang tidak telus di negeri ini perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya juga tidak bersetuju sekiranya ada dalam kalangan orang kenamaan (VIP) cuba memotong barisan dalam mendapatkan suntikan vaksin seperti yang didakwa segelintir pihak baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan di media sosial sahaja tidak cukup dan segala bukti itu perlulah disertakan dan laporan polis perlu dibuat.

“Yang sebut ada pilih kasih membabitkan golongan VIP itu, saya alu-alukan untuk laporkan pada polis.

“Biarkan polis siasat kerana saya pun tak suka juga (jika benar ia berlaku).

“Buat masa ini, memang saya tak dapat apa-apa laporan. Tapi kalau betul-betul ada memang saya tidak bersetuju 100 peratus,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah enam beradik yatim piatu di Tangga Batu Pekan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ketua Pembangkang, Adly Zahari yang mengaitkan kuota pemberian vaksin membabitkan badan berkaitan kerajaan (GLC) diberikan kepada ‘rakan-rakan’ dan golongan VIP dalam satu hantaran di Facebooknya, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas sama ada Melaka bakal menjalankan ujian saringan COVID-19 secara bersasar membabitkan rakyat negeri ini, Sulaiman berkata, ia hanya akan dilakukan di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Jelasnya, antara kawasan yang akan dijalankan ujian saringan bersasar ialah kawasan yang mempunyai kebolehjangkitan COVID-19 tinggi di negeri ini, selain kawasan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

SULAIMAN melihat proses suntikan vaksin membabitkan seorang warga emas ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR di Alor Gajah, petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Enam beradik yatim piatu terima sijil kelahiran
Next post Kerajaan diminta pertimbang bantuan khas kepada pesawah
Ubah saiz-+=