Lapangan terbang baharu Melaka masih di peringkat cadangan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Cadangan membina lapangan terbang baharu di negeri ini masih memerlukan kajian lanjut dan ia bukanlah satu keputusan yang muktamad.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, kewujudan lapangan terbang baharu itu dicadangkan memandangkan Melaka dijangka bakal memiliki koridor ekonomi sendiri suatu hari nanti yang dipanggil Melaka Waterfront Economic Zone atau M-WEZ.

Jelasnya, jika impian M-WEZ di tanah seluas 6,070.28 hektar berjaya direalisasikan, pihak kerajaan negeri melihat adanya keperluan untuk pembinaan lapangan terbang dan pelbagai fasiliti baharu yang lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali (Foto MR. Azli)

“Rasionalnya cadangan pembinaan lapangan terbang ini adalah apabila koridor ekonomi baharu seluas 6,070.28 hektar kita akan dibangunkan nanti, maka ia akan menjadi satu pusat perniagaan yang mana saya yakin perlunya ada sebuah lapangan terbang dan fasiliti-fasiliti baharu.

“Saya mahu melihat seluruh kawasan koridor itu lengkap mempunyai segala kelengkapan maritim mahu pun udara.

“Apa pun perkara ini masih di peringkat cadangan dan jika kita mahu membina lapangan terbang baharu sekali pun, ia haruslah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membacakan ucapan penggulungan Belanjawan Melaka 2021, sebentar tadi.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan terdapat beberapa wakil rakyat dari blok pembangkang dilihat mempertikai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu tersebut memandangkan Melaka masih mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang terletak di Batu Berendam.

Views:

1540
Kongsi :
Previous post RM6 juta bangunkan 126 projek Rumah Prihatin
Next post Pelantikan Menteri Besar Perak bukti toleransi parti
Ubah saiz-+=