Sorting by

×

Lapan program masyarakat India serikan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 8 November – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang berbaki kurang dua bulan sahaja lagi bakal menjanjikan pelbagai pengisian program menarik bukan sahaja dari sudut pelancongan dan warisan, bahkan merangkumi kebudayaan masyarakat berbilang kaum.

Tidak terkecuali program khas membabitkan masyarakat India yang kini sedang dirangka dan bakal disusun sepanjang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program-Program Masyarakat India TMM2024 VP Shanmugam berkata, antara program yang sah bakal dianjurkan ialah Pesta Ponggal secara besar-besaran yang akan diadakan pada Januari tahun depan.

Menurutnya, Pesta Ponggal itu bakal dianjurkan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir bersempena dengan inisiatif zon bebas kenderaan dan dijangka berupaya menarik kehadiran 10,000 pengunjung.

“Menariknya, Pesta Ponggal ini akan diadakan denganpenglibatan masyarakat berbilang kaum bagi menunjukkan ciri-ciri perpaduan Malaysia.

“Kita sasarkan sebanyak 200 periuk ponggal akan terlibat sepanjang perayaan itu yang juga dikenali sebagai pesta menuai padi yang pertama bagi masyarakat India.

“Ponggal bukanlah program keagamaan, tetapi ia lebih kepada adat, jadi kita berharap masyarakat berbilang kaum dapat bersama memeriahkan sambutan ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar kurang berkemampuan di sebuah gedung beli-belah, di Little India, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, selain Pesta Ponggal, antara pengisian program lain yang dicadangkan sempena TMM2024 ialah merangkumi perayaan-perayaan masyarakat India di negeri ini.

Jelasnya, antara perayaan yang bakal menghiasi kalender TMM2024 ialah seperti Pesta dan Bazar Deepavali; sambutan Tahun Baharu India; perayaan kaum sikh; Navratri (perayaan Gujerat) dan Thaipusam.

“Kesemua ini merupakan antara yang dicadangkan selepas saya mempengerusikan mesyuarat induk bersama pemimpin-pemimpin masyarakat India Negeri Melaka baru-baru ini yang mana kita tidak mahu ketinggalan dalam kemeriahan TMM2024 dan mencadangkan sebanyak lapan program untuk dianjurkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

952
Kongsi :
Previous post Indeks jenayah di Melaka sedikit meningkat
Next post Deepavali: 36 pelajar susah dapat baju raya
Ubah saiz-+=