Lapan politeknik guna aplikasi PolyCcDec kesan pelajar berisiko tinggi COVID-19
SEREMBAN 15 Mac. – Lapan Politeknik melaksanakan pengurusan risiko COVID-19 melalui sistem Deklarasi Kesihatan dan Penilaian Risiko COVID-19 (PolyCcDec), bagi 13,000 pelajar yang hadir secara fizikal ke kampus bermula 19 Februari lalu.
Pengarah Politeknik Port Dickson (PPD) Mohamad Isa Azhari berkata, aplikasi PolyCcDec dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dalaman daripada Politeknik Melaka, Politeknik Merlimau dan Politeknik Nilai, yang diselaraskan oleh Politeknik Port Dickson.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan, sistem tersebut mengesan 70 pelajar berisiko tinggi. Dengan arahan sekatan kepada pelajar tersebut memasuki kampus, ia telah meminumkan risiko jangkitan di Politeknik.
“Inisiatif ini adalah mekanisme baharu dibangunkan bagi memantau tahap kesihatan pelajar dan risiko penularan COVID-19 di kawasan kediaman pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, input keberkesanan projek rintis itu dapat membantu Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), menyediakan pelaporan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau berkata kampus politenik terlibat dalam projek rintis ini adalah Politeknik Port Dickson, Politeknik Melaka, Politeknik Merlimau, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Politeknik Nilai, Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Politeknik METro Kuala Lumpur dan Politeknik METro Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Jelasnya inisiatif itu berfungsi sebagai instrumen pemantauan dan pemerhatian kendiri proses pengasingan kendiri di kediaman pelajar selama 10 hari.
“Selain itu ia bertindak sebagai pemerhatian kendiri tahap kesihatan pelajar sepanjang berada di kampus, yang terlibat dan pemantauan kepada program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.
Memperincikan pelaksanaan tersebut di Politeknik Port Dickson, beliau berkata seramai 631 orang pelajar baharu telah mendaftar di kampus tersebut dan kesemua mereka meneruskan proses pengasingan wajib selama 10 hari di asrama masing-masing.
“Seramai 15 orang pelajar berisiko tinggi Politeknik Port Dickson dikesan oleh sistem PolyCcDec sepanjang ia dikuatkuasakan. Pelajar diminta menguruskan kesihatan masing-masing terlebih dahulu sebelum dibenarkan hadir ke kampus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.