Lapan ‘panic button’ dipasang sebelum TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 25 Oktober – Sebanyak lapan ‘panic button’ akan dipasang di sekitar kawasan pelancongan di negeri ini, khususnya membabitkan kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemasangan itu bertujuan mencegah sebarang kes jenayah membabitkan pelancong.

Menurut beliau, buat masa ini sebanyak tiga ‘panic button’ telah dipasang di sekitar Jalan Jonker dan pemasangan selebihnya akan disegerakan sebelum Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Panic button ini penting kepada pelancong jika berlaku sebarang kejadian melibatkan kes jenayah.

“Pelancong boleh membuat panggilan kecemasan melalui panic button dan bantuan daripada anggota keselamatan akan tiba kurang daripada lima minit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi Walkabout Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Keselamatan Tahun Melawat Melaka 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar.

Mengulas lanjut, Hameed berkata pemasangan panic button itu juga sebagai tanda Melaka sebagai sebuah negeri yang selamat.

“Pemasangan panic button ini perlu, kita mahu pelancong ataupun masyarakat negeri ini sentiasa dipantau dari segi keselamatannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

866
Kongsi :
Previous post SIRIM bantu tentukan prestasi usahawan
Next post APM Melaka terima tambahan sukarelawan, siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
Ubah saiz-+=