Lapan fokus Bajet 2024 Negeri Melaka – KM
AYER KEROH 11 September – Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap lapan fokus utama dalam Bajet 2024 untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, segala fokus utama Kerajaan Negeri perlu dirangkumkan dan diberi penekanan bagi melonjakkan tahap pencapaian ekonomi.
Katanya, fokus itu juga bagi menjana pertumbuhan lebih rancak dan mewujudkan kesejahteraan sosial di samping memastikan semua kelompok masyarakat khususnya golongan B40 dilindungi.
“Lapan fokus utama tersebut adalah membangunkan Melaka sebagai pusat kecemerlangan program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), memperkasa sektor pelancongan melalui penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
“Selain itu, fokus turut diberikan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur, menyediakan perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan serta menyegerakan pendigitalan 4G dan 5G.
“Turut diberi fokus, meningkatkan prestasi anak syarikat Kerajaan Negeri, memperkasakan inisiatif di bawah pentadbiran Ketua Menteri dan membudayakan seni, warisan dan budaya Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka Bersama YAB Ketua Menteri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berharap pembentangan bajet kali ini lebih meluas termasuk peruntukan kepada sektor pembangunan.
“Namun, apa yang lebih penting saya mahukan bajet kali ini turut dinikmati dan dirasai oleh semua lapisan masyarakat khususnya kumpulan sasar seperti para peniaga, golongan B40, petani, penternak, nelayan, warga Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.