Lapan barangan tersenarai dalam SHMMP Deepavali 2023
BANDA HILIR 9 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 membabitkan lapan barangan berkuatkuasa 9 hingga 15 November.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, antara barangan tersenarai dalam SHMMP Deepavali 2023 adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import serta kacang dal.
“SHMMP Deepavali 2023 dilaksana selama tujuh hari akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Pelaksanaan ini membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Hashim dan Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Rohaimi Zawawi.
Allex turut memaklumkan pewartaan telur ayam sebagai barangan harga terkawal disambung berkuat kuasa mulai 1 November lalu.
“Telur ayam gred A, telur ayam gred B dan telur ayam gred C antara yang dilaksanakan sebagai barangan harga terkawal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.