Lapan barangan diwartakan dalam SHMP Tahun Baharu Cina
ALOR SETAR, 12 Jan – Sebanyak lapan jenis barangan diwartakan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2023 yang akan berlangsung selama 15 hari berkuat kuasa dari 15 hingga 29 Jan nanti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata lapan barangan itu ialah ikan bawal putih seberat antara 200 hingga 400 gram seekor; udang putih (antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram) dan bawang putih dari China.
Selain itu, ubi kentang import (China); kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing); babi hidup yang kawalan di peringkat ladang sahaja; daging babi bahagian perut dan daging babi (daging dan lemak).
“Pihak penguat kuasa kita akan memantau dan kawal harga ini untuk tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan,” katanya pada sidang media di sebuah pasar raya di sini hari ini sebelum membuat tinjauan barangan keperluan di situ.
Salahuddin berkata harga maksimum di peringkat runcit yang ditetapkan bagi ikan bawal putih ialah RM42 sekilogram manakala udang putih (RM39 sekilogram ); bawang putih (RM8.50 sekilogram); ubi kentang (RM4 sekilogram); kubis bulat (RM4 sekilogram); babi hidup kawalan peringkat ladang sahaja (RM15 sekilogram); daging babi bahagian perut (RM36 sekilogram) dan daging babi (daging dan lemak) RM25 sekilogram.
“Jadi saya harap tidak berlaku mana-mana peniaga ataupun premis yang didenda ataupun diambil tindakan oleh pihak berkuasa…berilah kerjasama supaya kita dapat untuk berikan sedikit kegembiraan kepada rakyat khususnya pada masa sekarang ini kita menghadapi isu kos sara hidup,” katanya
Untuk rekod, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan dengan tidak mematuhi peraturan skim harga maksimum itu akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sementara itu, beliau berkata bekalan telur mencukupi di pasaran namun hasil tinjauan pihaknya terutamanya selepas pelancaran Ops Terjah mendapati lokasi tertentu kekurangan bekalan telur itu.
Sehubungan itu, Salahuddin meminta pengguna membuat laporan terus sekiranya menghadapi masalah bekalan berkenaan di kawasan mereka untuk tindakan segera diambil pihaknya.
“Sepanjang kita buat Ops Terjah ini, semalam saya dapat laporan di Jempol (tempat yang kekurangan bekalan telur), sebelum itu saya dapat laporan ada berlaku di Johor Bahru, sebelum itu kita dapat laporan di sempadan Kedah.
Jadi, saya telah meminta pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan serta-merta dan perkara itu kita boleh atasi dalam kadar yang cepat,” katanya.
Beliau berkata hasil daripada mesyuarat pihak kementeriannya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) yang isu bekalan telur itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan lagi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.