
LAPAN AGENSI TAWAR SKIM BANTUAN PERKASA OKU DALAM KEUSAHAWANAN
SERI NEGERI 28 April – Lapan Jabatan dan agensi menawarkan skim bagi membantu orang kurang upaya (OKU) di Negeri Melaka untuk aktif dalam bidang Keusahawanan, sekali gus menggalakkan mereka untuk berdikari.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata skim berkenaan ditawarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Majlis Amanah Rakyat (MARA); TEKUN Nasional; Bank Simpanan Nasional (BSN); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Katanya, JKM telah melaksanakan Program 2 Years Exit Programme (2 YEP) yang bertujuan memperkasakan ekonomi kumpulan OKU dengan menyediakan Kadar Geran Program sebanyak RM5,000 untuk membeli peralatan dan modal perniagaan.
“Bagi tempoh 2023 hingga 2025 seramai 22 penerima bantuan dalam kalangan OKU mendapat manfaat menerusi program 2 YEP. Selain itu JKM turut menyediakan jurulatih bertauliah untuk melatih kumpulan ini.
“Sementara itu SSM pula menawarkan Skim 1 OKU 1 Pendaftaran Perniagaan (S1OKU1P) yang mana di Melaka sehingga 31 Mac 2025 seramai 1,324 perniagaan OKU telah berdaftar.
“Skim Pembiayaan Perniagaan kepada OKU oleh MARA yang mana menerusi skim ini, MARA menyediakan pembiayaan perniagaan sehingga RM50,000. Skim Pembiayaan OKU (SP-OKU) oleh TEKUN Nasional juga menawarkan bantuan perniagaan dan untuk rekod pihak TEKUN Nasional telah membelanjakan RM2.948 juta bagi Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai pemerkasaan golongan OKU dalam bidang perniagaan pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata BSN pula menawarkan Kemudahan Pinjaman dan Pembiayaan menerusi Micro-i Madani Sinar dengan tawaran sehingga RM100,000.
Tambahnya, peka dengan kesukaran OKU semua PBT menyediakan kemudahan laluan pantas bagi OKU yang memohon lesen perniagaan.
“Pihak JPJ juga membantu menerusi Program Lesen Memandu Khas OKU agar golongan ini boleh menggunakan motosikal roda tiga untuk berniaga.
“Turut memainkan peranan penting adalahMAIM, menawarkan bantuan peralatan perniagaan kepada golongan OKU, bantuan perniagaan ini tidak perlu dibayar balik dan boleh digunakan untuk membeli peralatan perniagaan dengan bantuan yang diberikan antara RM500 hingga RM10,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.