Sorting by

×

Lantikan Timbalan Speaker baharu, bukti keserasian Kerajaan Perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 31 Julai – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu membuktikan kesepaduan dan keserasian hubungan antara parti di negeri ini sangat kukuh.

Chee Yee berkata, pelantikan itu adalah hasil daripada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Melaka sejak beberapa bulan lalu.

“Seperti mana kita tahu dalam beberapa bulan yang lalu apabila berlakunya pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka bagi peringkat negeri, sudah ada jawatan Exco dan Timbalan Exco yang dilantik dalam kalangan Adun Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang saya sebagai Adun membawa tiket PH dipilih sebagai Timbalan Speaker, saya lihat ini satu lagi langkah yang menunjukkan perpaduan dalam Kerajaan Negeri.

“Terima kasih kepada semua yang memberi kepercayaan kepada saya. Sebagai Adun yang berkhidmat lebih lima tahun sudah tentu banyak idea yang ingin saya bawa dalam konteks reformasi institusi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Chee Yee, berharap jawatan diamanahkan kepada beliau menjadi platform dan membuka ruang kepadanya untuk membawa penambahbaikan pada masa akan datang.

“Bagi saya DUN ini bukan satu tempat untuk wakil rakyat berbahas atau bertanya soalan, tetapi satu ruang dan platfrom untuk membawa aspirasi rakyat.

“Saya hargai peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk Negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu Chee Yee, mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selepas dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Adun Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Laluan Plaza Tol Simpang Ampat dilebarkan
Next post Tangguh bina jeti arang batu di Pantai Kundor
Ubah saiz-+=