Lantikan sukarelawan tertangguh, Abang Viva sibuk program menyelamat
AYER KEROH 24 Mac – Pelantikan Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) belum dapat dilaksanakan ketika ini.
Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, ia disebabkan kesibukan Abang Viva dengan program menyelamat mangsa banjir di Terengganu baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya ada mempelawa Abang Viva untuk mengikuti latihan asas operasi penyelamatan yang dianjurkan pihaknya sebelum boleh dilantik sebagai anggota sukarela APM.
“Secara asasnya beliau (Azwan) bersetuju untuk menyertai APM sebagai anggota sukarelawan kita namun baru-baru ini beliau terlibat dengan misi menyelamat mangsa banjir di Terengganu, jadi belum ada kesempatan.
“Kita tidak mahu ganggu program beliau, Abang Viva boleh sertai kursus APM pada bila-bila masa.
“Pegawai APM Alor Gajah akan berhubung dengan beliau untuk maklumkan perkembangan kursus latihan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Program sambutan itu diadakan serentak di seluruh negara dan bersempena dengan itu, seramai 40 pegawai dan anggota agensi itu dianugerahkan pingat serta sijil penghargaan.
Pada majlis itu juga, Cuthbert melancarkan penjenamaan pakaian petugas penyelamat pantai (baywatch) APM membabitkan 30 individu.
Abang Viva sebelum ini tular di media sosial kerana sanggup datang dari Melaka dengan mengikat bot di atas Perodua Viva dan berbekal duit poket RM50 membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang.
Kesungguhan Azwan menjadi sebutan termasuk Imam Masjid Negara dalam khutbah solat Jumaat dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka pada 27 Dis lalu.
Selain itu, menurut Cuthbert, sekiranya tiada halangan atau kekangan masa daripada pihak Azwan, lantikan beliau sebagai anggota sukarelawan APM dapat diselesaikan pada tahun ini juga.
“Kita harap perkara ini dapat usahakan pada tahun ini juga, kursus yang kita tawarkan ini berterusan, beliau boleh join pada bila-bila masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.