LANJUTAN TAHUN MELAWAT MELAKA DISAMBUT BAIK PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN
AYER KEROH 27 Januari – Pemain industri pelancongan tempatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan kempen Tahun Melawat Melaka yang diteruskan hingga 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) Madeline Kuah berkata, bukan sahaja terkenal kerana keunikan yang dimiliki, sebaliknya pelbagai program dan aktiviti disusun juga menjadi faktor pengunjung serta pelancong memilih untuk bercuti di negeri ini.
Katanya, sebagai contoh Program Melaka Bila Larut Malam antara inisiatif terbaik dalam usaha menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong ke negeri ini.
“Setiap kempen dilaksanakan pasti ada penamatnya tatapi Tahun Melawat Melaka diteruskan, ini adalah berita yang amat ditunggu-tunggu oleh ramai pemain industri pelancongan tempatan.
“Keputusan ini sudah pasti akan membantu ekonomi Melaka untuk terus berkembang khususnya dalam sektor pelancongan. Kami sedia bersama-sama Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa. Kami mahu lebih ramai pelawat asing datang bercuti di Melaka, bukan fokus kepada pelancong dari China sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin berkata, sudah pasti keputusan itu akan memberikan hasil positif kepada negeri ini.
“Melaka ada banyak produk, program dan aktiviti boleh diketengahkan untuk menarik pelancong tidak kira domestik atau antarabangsa.
“MATTA menggunakan peluang yang ada dengan menawarkan pelbagai pakej produk menarik, namun pada masa yang sama Kerajaan Negeri diharap terus menambah baik fasiliti dan kemudahan awam khusus di lokasi pelancongan untuk keselesaan pelawat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.