Lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu kehilangan pekerjaan
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.
Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan, katanya.
Muhyiddin berkata, selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.
“Keputusan ini dicapai selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Gabenor Bank Negara Malaysia,” katanya semasa pengumuman tersebut yang disiarkan di RTM, Bernama TV, TV3 and Astro Awani. hari ini.
Kadar pengangguran negara mencecah 5.3 peratus pada Mei yang melibatkan 826,100 orang.
Program Subsidi Upah kerajaan telah membantu melindungi 2.4 juta pekerjaan
Setakat 19 Jun, RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan untuk memanfaatkan kepada lebih 2.4 juta pekerja.
Kerajaan juga mengumumkan tempoh moratorium enam bulan dari April hingga September 2020, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat PRIHATIN ketiganya untuk mengurangkan impak daripada pandemik itu
Beliau berkata setakat 20 Julai, pinjaman tertangguh/pembayaran semula pembiayaan di bawah moratorium itu dianggarkan mencecah RM59 bilion, memanfaatkan kira-kira 7.7 juta rakyat Malaysia atau 93 peratus daripada peminjam individu.
Muhyiddin berkata bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman.
“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” kata perdana menteri.
Di samping itu, katanya, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat pandemik itu.
Menurutnya, bergantung kepada situasi peminjam, bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan; atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.
Bagi pinjaman sewa beli pula, bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli, contohnya memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan lebih rendah.
“Langkah-langkah ini dijangka memanfaatkan tiga juta individu dan PKS. Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya.
“Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos, 2020,” kata Muhyiddin
— BERNAMA