Sorting by

×

Langgar SOP PKP: Neelofa, keluarga hadir beri keterangan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 18 Mei. – Keluarga kepada usahawan dan selebriti tanah air Noor Neelofa Mohd Noor hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields selepas didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Aidilfitri lalu.

Keluarga itu dikatakan menyambut hari raya pertama bersama di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini dan videonya tular di media sosial.

Kenderaan jenis Alphard yang membawa bapa selebriti itu tiba di IPD Brickfields pada 2.51 petang sebelum sebuah lagi kenderaan dipercayai turut membawa ahli keluarganya yang lain tiba di lokasi sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya selesai mengambil keterangan daripada selebriti itu serta keluarganya dan siasatan selanjutnya akan dijalankan.

Beliau berkata setakat ini, 10 ahli keluarga Neelofa telah diambil keterangan.

Tinjauan Bernama mendapati kenderaan yang membawa selebriti itu dan keluarganya meninggalkan IPD Brickfields pada kira-kira 5.40 petang.

Terdahulu, Anuar berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan kejadian itu menerusi video tular berdurasi 26 saat dipercayai dimuat naik melalui akaun Instagram kakak selebriti tersebut dan satu laporan polis telah dibuat.

“Video juga didapati telah dikongsikan netizen melalui laman sosial dan kakak kepada selebriti itu dipercayai memadamkan video itu daripada laman sosial setelah ia tular,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata orang awam dinasihat untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan keluarga selebriti itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Katanya sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post Abd Rahim bersara, Azri pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman
Next post Melaka rekod kluster baharu, Kluster Kampung Kemuning
Ubah saiz-+=