LANDASAN MONOREL MELAKA BAKAL BERUBAH WAJAH
AYER KEROH 23 November – Trek monorel di Jalan Tun Ali yang dicadangkan untuk menjadi produk pelancongan baharu berkonsepkan laluan pejalan kaki akan dimulakan pembangunannya pada tahun hadapan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, bagaimanapun perkara itu masih pada peringkat perbincangan.
Katanya, mengikut perancangan trek sepanjang lima kilometer itu tidak akan dirobohkan, sebaliknya akan ditambah baik termasuk membabitkan aspek pencahayaan untuk menghidupkan suasana pada sebelah malam.
“Pada perbincangan MBMB bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum ini, beliau berpandangan untuk menaikkan semula kawasan tersebut dengan mengubah laluan monorel yang terbengkalai kepada trek pejalan kaki.
“Menerusi projek trek pejalan kaki ini, pelancong berpeluang beriadah menggunakan trek itu yang menghidangkan pemandangan kampung tradisional di Kampung Morten serta keindahan Sungai Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata sekiranya peringkat perbincangan selesai, pihaknya akan mengeluarkan sebut harga.
“Jika peringkat perbincangan selesai kita akan mulakan projek ini tahun hadapan, sekali gus menjadi produk pelancongan baharu Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.