Lampu solar lebih jimat kos
DUYONG 26 Ogos – Lebih 60 lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sebelum ini gelap dan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai mula diterangi cahaya lampu solar yang dipasang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu dijayakan menggunakan peruntukan yang diberikan kepada pihak Japerun.
Katanya, kemudahan lampu solar setiap satu membabitkan kos RM500 itu siap dipasang sepenuhnya di kesemua lokasi yang dikenal pasti, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di DUN berkenaan.
“Kita terima lebih kurang 60 permohonan, tetapi kos untuk setiap lampu adalah antara RM900 hingga RM1,000. Jadi saya ambil pendekatan jimatkan kos dengan memasang lampu solar yang hanya memerlukan belanja RM500.
“Jadi dengan peruntukan sedia ada yang kita terima, hanya RM30,000 dibelanjakan untuk pasang kesemua lampu solar berkenaan sekitar DUN Duyong.
“Ya, tidak dinafikan pencahayaannya kurang memuaskan, tetapi setidaknya dapatlah memberi menerangi kawasan sebelum ini gelita,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Pejabatnya di Taman Seri Duyong 2, 23 Ogos lalu.
Menurutnya, biarpun jangka hayat lampu solar berkenaan tidak lama, namun beliau memberi jaminan penggunaannya akan bertahan sehingga empat tahun.
“Permohonan bertambah setiap tahun, apa kita boleh buat adalah guna lampu solar sebagai alternatif. Memang timbul persepsi, ada cakap tidak terang dan jangka hayat pendek, tetapi kita beri jaminan lampu ini mampu bertahan empat tahun paling maksimum.
“Pada saya daripada tiada lampu langsung lebih baik saya pasang lampu solar ini, sebiji lampu RM350, manakala tiangnya RM150, jadi kos keseluruhan RM500 untuk setiap lampu.
“Kemudahan ini masih memberi manfaat kepada rakyat, menjelang khamis (25 Ogos) sudah selesai pemasangan semua lampu solar di seluruh DUN Duyong, ini dapat menjimatkan kita daripada perbelanjaan yang besar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.