Sorting by

×

‘LAMPU RAYA’ UNTUK ORANG MERLIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 27 Mac – Jalan di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Merlimau, di sini, kini bercahaya apabila diterangi sebanyak 114 lampu solar.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memaklumkan, lampu berkenaan dipasang sepanjang lebih 3 kilometer (km) dari simpang Merlimau ke simpang Batu Gajah.

Menurutnya, kemudahan lampu jalan itu sekali gus mampu meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

“Kita tahu jalan dari Bandar Melaka ke Sungai Rambai agak teruk kerana ada yang gelap, tiada lampu jalan serta pelbagai masalah lain.

“Tetapi kita di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa berusaha sedikit demi sedikit untuk mendapatkan lampu jalan di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Alhamdulillah, raya tahun ini orang Merlimau raya dapat lampu baharu dan diharap ia dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna yang akan melalui jalan raya ini,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook rasmi beliau.

Dalam hantaran sama, Hameed turut berkongsi satu lagi khabar gembira untuk orang Merlimau apabila sebuah jalan baharu akan dibina dengan kos dianggarkan RM50 juta.

Katanya, jalan baharu itu dapat memendekkan perjalanan dan bertindak sebagai ‘bypass’ Pekan Merlimau ke Merlimau Pasir.

“Insya-Allah sekarang JKR sedang dalam proses reka bentuk dan jika cepat, sebut harga akan dikeluarkan tahun ini juga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

880
Kongsi :
Previous post WUJUDKAN LEBIH BANYAK KOPERASI PELANCONGAN DI MELAKA
Next post BAJU RAYA SEDONDON KENANGAN TERAKHIR DENGAN ARWAH ISTERI