Sorting by

×

‘Lamborghini’ hitam RM2,000

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Hitam bukan sebarang hitam, kerana hitam itu mahal dan menawan. Itu gambaran mengenai keistimewaan ayam hitam atau lebih dikenali sebagai ayam cemani.

Walaupun tidaklah berseri seperti ayam biasa lain, namun siapa sangka rupanya spesies unggas yang digelar ‘Lamborghini’ ini bernilai tinggi di pasaran.

Menurut penternak dan penjual ayam cemani, Razali Abd Rahman, 44, harga  spesies ayam eksotik itu boleh mencecah RM2,000.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor menyebabkan harganya melambung tinggi di pasaran, antaranya disebabkan khasiat dagingnya yang dikatakan mampu menyembuhkan luka.

Maka, tidak hairanlah di United Kingdom, harga sup ayam cemani boleh mencecah RM5,000 semangkuk!

Namun, tidak kurang juga ada yang mencari ayam itu bagi tujuan ajaran yang bertentangan dengan Islam seperti aktiviti pemujaan dan ilmu hitam.

Menurut Razali, pada asalnya, dia tidak pernah termimpi akan terjun dalam bidang penternakan ayam eksotik itu, sebaliknya dia lebih menjurus kepada perusahaan rumah sarang burung walit dengan melabur sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun, perusahaan itu tidak berjaya apabila tiada burung yang masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum dia mendapat khidmat nasihat tenaga pengajar dari Indonesia yang memintanya mencari ayam hitam (cemani) dengan meletakkan darahnya di kaki rumah dan ditanam di tanah berhampiran rumah burung itu.

Dari situ, dia membuat carian di aplikasi dalam talian dan menemui penjual ayam berkenaan sebelum membeli ayam itu pada harga RM7,500 pada ketika itu.

“Sebelum ayam itu disembelih, saya mendapat idea untuk membiakkan baka ayam berkenaan dan terjadilah penternakan ini yang kini diusahakan di Besut, Terengganu.

“Untuk menternak ayam ini ia tidak memerlukan ladang yang besar, cukup dengan ada tanah 10 ekar untuk membina reban di tengah-tengah dan ayam itu akan dilepaskan bebas.

“Soal makanan ayam ini juga tidak sukar kerana saya hanya memberi makan dedak, lebihan nasi atau rumput nappier sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Melaka AgroFest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

IMG_20230624_221229_633
Ayam cemani atau lebih dikenal dengan gelaran ‘Ayam Lamborghini’ berharga RM2,000 sepasang yang dipamer dan dijual pada Melaka AgroFest 2023 yang berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagaimanapun, Razali berkata, antara kesukaran yang dihadapi ialah dia perlu membeli baka baharu ayam berkenaan selepas tempoh dua tahun bagi mengelakkan pembiakan daripada keluarga sama.

“Sama seperti manusia melarang perkahwinan di antara saudara, ayam cemani ini juga sama. Sebab itulah perlu untuk menukar induk berlainan kerana jika tidak akan berlaku masalah seperti ayam sakit dan lain-lain lagi.

“Disebabkan kos yang tinggi untuk menukar baka, saya terpaksa hadkan kepada penternakan 30 ekor sahaja pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menceburi penternakan itu pada tahun 2008, ayam cemani paling mahal pernah dijualnya ialah pada harga RM4,500 seekor dengan berat 2.8 kilogram.

Jelasnya, harga yang mahal itu bergantung kepada karakter ayam tersebut yang mana lebih hitam warnanya, lebih tinggi harga boleh dijual.

“Pelbagai karakter boleh dilihat, ada yang menilai daripada segi tulang yang kasar dan lentikan ekor. Tetapi ada juga yang menilai daripada sudut kehitaman lidah, paruh dan dubur ayam itu.

“Seperti di negara asal ayam ini iaitu di Indonesia, lebih buruk dan menakutkan rupa ayam itu, lebih mahal harganya.

“Malah, ada yang sanggup memberikan ayam itu makan darah sotong dan pulut hitam untuk menjadikan ayam itu lebih menakutkan. Tapi bagi saya itu lebih kepada penderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4534
Kongsi :
Previous post D’Parawood, Kombo RAMD juara Battle of the Band Tentera Darat 2023
Next post Shadan dilantik Presiden MALA yang baharu
Ubah saiz-+=