Lambat ambil tindakan, punca kanser servik merebak
AYER KEROH 29 Julai – Kanser pangkal rahim (servik) adalah bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina di mana sel-sel di servik membiak secara luar biasa.
Rata-rata golongan wanita di negara ini lambat mengesan simptom-simptom penyakit itu dan punca sebenar tidak diketahui hingga mendatangkan risiko buat si penghidap.
Konsultan Clinical Oncology Hospital Pantai Melaka Dr. Joel Gabriel Nonis berkata, kanser servik ialah kanser yang sering berlaku dan kerap dialami dalam kalangan wanita.
“Setiap tahun lebih kurang 4,000 kes dikesan oleh doktor-doktor seluruh Malaysia.
“Mengikut rekod dalam tempoh empat tahun bermula 2012 hingga 2016 dianggarkan sebanyak 1,000 kes kanser servik setiap tahun di seluruh negara.
“Manakala, untuk Negeri Melaka dalam tempoh yang sama sebanyak 157 kes direkodkan di mana secara purata sebanyak 40 kes setahun,” katanya ketika ditemui MHI, baru-baru ini.
Kanser Servik Mengikut Peringkat
Menurutnya, kes yang dikesan bagi kanser servik ialah 40 peratus dalam peringkat tiga dan empat, 60 peratus peringkat satu dan dua.
“Ini membimbangkan kerana ramai pesakit datang lambat, lebih lambat mereka kesan kadar peratusan sembuh lebih rendah.
“Kalau peringkat satu hampir 90 peratus direkodkan, peringkat dua 70 hingga 80 peratus, peringkat tiga 40 hingga 50 peratus dan peringkat empat kurang dari 10 peratus,” katanya.
Katanya, peluang untuk sembuh bagi peringkat satu ialah 80 hingga 90 peratus, peringkat dua 60 hingga 80 peratus, peringkat tiga kurang 50 peratus dan peringkat empat A pula 20 hingga 30 peratus diikuti peringkat 4 B kurang 10 peratus.
“Justeru, golongan wanita yang sudah berkahwin perlu membuat ujian pap smear yang boleh didapati di klinik kerajaan dan swasta.
“Jika klinik kerajaan boleh dapat percuma sahaja, mereka perlu buat ujian ini setiap dua tahun sekali,” katanya lagi.
Tiga Faktor Utama Kesan Simptom Kanser Servik
Jelasnya, terdapat tiga simptom utama penyakit itu seperti ‘abnormal vagina bleeding’, lendir atau cecair keluar dari faraj dan hubungan kelamin yang berdarah.
“Ini tanda yang penting dalam simptom awal kanser servik, kanser ini berpunca daripada virus iaitu ‘human papillomavirus (hpv) subtype’ 16 dan 18 yang kerap dijumpai.
“Terdapat beberapa vaksin untuk cegah virus ini seperti vaksin hpv yang diberi di sekolah bermula tingkatan 1 sebanyak tiga dos.
“Selain, vaksin quadrivalent (kawal empat virus) dan vaksin nanovalent (kawal sembilan virus),” katanya.
Kaedah Rawatan Yang Dijalankan
Nonis berkata, pihak hospital akan mengesan kanser tersebut di peringkat berapa dan bahagian ‘oncology’ akan membuat pemeriksaan untuk memastikan tahap kanser itu sebelum membuat rawatan.
“Kalau peringkat pertama rawatan melalui dua cara iaitu radioterapi dan kimoterapi, cara kedua ialah pembedahan yang dibuat pakar sakit puan yang terlatih.
“Tetapi ada pesakit yang tidak sesuai untuk buat pembedahan, yang ambil masa enam ke tujuh jam, kalau pesakit terlalu tua atau ada masalah kesihatan hanya buat radioterapi dan kimoterapi,” katanya.
Peratusan Untuk Sembuh
Jelasnya, kadar untuk sembuh peringkat pertama 80 peratus di mana selepas lima tahun 80 daripada 100 pesakit masih hidup, manakala 20 daripada 100 pesakit tidak bernasib baik.
“Peringkat dua hingga empat pesakit tidak boleh buat pembedahan, mereka kena buat radioterapi dan kimoterapi secara serentak.
“Radioterapi ada dua peringkat, peringkat pertama kami rawat dari luar ambil masa lima minggu dengan 25 kali sesi guna mesin kami, selepas itu baru buat rawatan dalaman (brakiterapi),” katanya.
Katanya, sistem brakiterapi menggunakan ‘high dose rate’ yang mempunyai intensiti lebih tinggi.
“Pesakit yang buat ‘low dose rate’ dahulu kena masuk hospital empat hari, tetapi ‘high dose rate’ tak perlu masuk wad dan rawatan ambil masa dua jam saja.
“Mereka boleh datang sebagai pesakit luar, kena buat tiga ke empat sesi kali bergantung kepada individu itu sendiri,” katanya.
Brakiterapi Sistem Baharu Di Hospital Pantai Melaka
Tambahnya, sistem brakiterapi mula digunapakai Oktober 2019 selepas ianya diluluskan kerajaan.
“Hospital Pantai Melaka merupakan yang pertama miliki mesin ini dalam Wilayah Selatan, setakat ini kami menerima tempahan mendapatkan rawatan sehingga bulan September.
“Kes pertama pada 12 November lalu, setakat ini ada 24 pesakit yang sudah menggunakan mesin ini dan sebanyak 74 sesi telah dilakukan,” katanya.