Sorting by

×

LAMBAIAN KOTA SUPAI

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LINGGI 12 Januari – Meskipun mempunyai pelbagai cerita dan sejarah namun kisah tentang keberadaannya tidak dicerita secara meluas seperti Kota A’Famosa dan Bukit Melaka.

Terletak bersempadan Laut Selat Melaka dan Muara Sungai Linggi, Kota Belanda ini atau lebih dikenali sebagai Kota Supai terletak di atas bukit dan berbentuk empat persegi bujur.

Nama Kota Supai atau Fort Supai dikatakan diberi oleh masyarakat setempat berikutan nama ‘sipoi’ yang diberikan kepada pasukan tentera Belanda yang bertugas di atas bukit berkenaan pada ketika itu dan namanya kekal sehingga kini.

Asal pembinaan kota ini dikatakan dibina bersama dengan orang Belanda dan Bugis pada 1757 sebagai tamatnya peperangan di antara kedua-duanya.

Meskipun mempunyai dua pintu masuk untuk ke kota ini namun difahamkan, hanya laluan dari restoran terapung sering digunakan pengunjung untuk naik ke puncak.

Dikenali juga sebagai Kota Meriam Patah, pengunjung yang datang ke sini dapat melihat beberapa tinggalan meriam yang terdapat di puncak kota itu dengan kedudukan dua daripadanya menghala ke arah laut Selat Melaka manakala dua lagi ke darat.

Img 20250111 Wa0012
TINGGALAN sejarah di puncak Kota Supai.

Menariknya, di puncak kota itu terdapat kawasan lapang seperti padang yang dikelilingi batu seakan tembok.

Walaupun tidak terkenal seperti tinggalan sejarah lain namun kewujudan Kota Supai menjadi kebanggaan penduduk Kuala Linggi.

Menurut penduduk tempatan, Rahmad Md Shariff, 52, walaupun kedatangan pengunjung ke kota sejarah itu bukanlah dalam skala yang ramai seperti lokasi lain namun ia menjadi antara tarikan negeri bersejarah ini.

“Walaupun hari biasa, tetap ada yang datang dan jumlahnya semakin ramai pada hujung minggu atau cuti umum, boleh katakan ada pengunjung walaupun tidak terkenal seperti Kota A’Famosa.

“Pengunjung boleh naik ke atas pada bila-bila masa tetapi kami penduduk setempat tidak menggalakkan untuk pengunjung naik selepas waktu senja kerana terdapat pelbagai kisah mistik,” katanya yang berniaga sarapan pagi di kawasan itu.

Jelas Rahmad, kedatangan pengunjung ke kawasan itu secara tidak langsung memberi limpahan rezeki bukan sahaja kepadanya, malah peniaga lain di sekitar Kuala Linggi.

Pada masa sama, warga emas itu berharap agensi atau jabatan berkaitan dapat melakukan beberapa penambahbaikan khususnya dalam aspek kebersihan dan keceriaan bagi menggamit lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post ‘AGRO ROBOT’ TARIKAN PAMERAN TVET W.R.U.R KUALA LINGGI
Next post 3 JUTA BENIH UDANG GALAH DILEPASKAN DI PERAIRAN MELAKA
Ubah saiz-+=