Sorting by

×

Laman Variasi ‘lubuk’ seni keris Melayu

Masa Membaca:4 Minit, 39 Saat

USAI menjamah sarapan pagi, dia mencapai cermin mata dan topi lalu melangkah ke bengkel di belakang rumah yang kini menjadi tempatnya mengabdikan diri kepada seni menempa keris.

Tanpa berlengah dia menyalakan api pada arang yang perlu dipastikan benar-benar berbahang untuk melembutkan besi buruk yang mahu dibentuk menjadi sebilah keris kaya dengan nilai seni dan melambangkan keagungan Melayu.

Itulah antara rutin Zainudin Bachik, 57, salah seorang daripada tujuh pembuat keris tradisional yang masih berjuang demi mengekalkan warisan itu di Negeri Melaka.

Sejak usia 27 tahun Zainudin merantau untuk mempelajari seni pembuatan keris termasuk daripada tiga guru di Bunut Susu, Kota Bharu dan di Pasir Mas, Kelantan.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 7.25.09 PM
ZAINUDIN bersama penuntutnya, Rosnaini Medin,39 yang mewarisi ilmu kesenian Melayu itu sejak lima bulan lalu menunjukkan antara koleksi keris yang dihasilkan di Bengkel Laman Variasi di kediamannya di Ramuan China Kechil, Lubok China.

Setakat ini dia sudah menghasilkan ratusan bilah keris di bengkel miliknya di Ramuan China Kecil, Lubok, China, Masjid Tanah, di sini.

Bengkel dinamakan Laman Variasi menjadi tempat dia menempa besi berkarat kepada sebilah keris dan semua itu adalah berdasarkan kreativiti dan imaginasinya.

Bermain bara berbahang, menempa besi seharian dianggap berbaloi kerana setiap bilah keris dihasilkan Zainudin mendapat permintaan tinggi termasuk daripada kenamaan dari seluruh Malaysia.

MENCURAH ‘PELUH JANTAN’

Mengekalkan nilai estetik dalam pembuatan klasik keris Melayu, Zainudin tetap dengan cara lamanya menempa besi yang digabungkan menggunakan kaedah lama persis zaman Melayu terdahulu.

Kayu arang menjadi bahan utama dalam pemprosesan awal pembuatan keris atau dipanggil melebur besi yang dilihat begitu rumit dan memerlukan tumpuan yang cukup mendalam.

Kemudian ia disusuli proses ‘kembang api siar besi’ yang menggabungkan dua keluli iaitu besi baja yang dililit bersama besi pamor kemudiannya dilebur di dalam api sebelum ditempa untuk membentuk keris yang diinginkan.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 7.30.25 PM
PROSES melebur dua jenis besi yang digabungkan dikenali ‘kembang api siar besi’ merupakan langkah yang merumitkan dalam pembikinan sebilah keris.

“Apabila sudah bersatu, kedua jenis besi itu perlu cantik dan kena pastikan tidak ada rongga-rongga angin, jika ada rongga sebilah keris itu tidak kemas, jadi tukang keris kena pastikan masalah itu dapat diselesaikan.

“Pembuatan keris ini perlu ikut permintaan pelanggan, ada yang minta kita gabungkan tujuh lapisan besi, lima lapisan besi dan tiga lapisan besi. Lebih banyak lapisan besi proses itu semakin rumit tapi akan menghasilkan bilah keris yang cukup cantik.

“Proses pembuatan keris kebiasaannya mengambil masa lama, pernah saya habiskan masa di bengkel selama sebulan. Daripada pembuatan hulunya, badan, lok keris (lekuk) dan proses memakaikan pakaian (sarung) semua saya buat sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

ASAS PARANG LAHIR ILMU KERIS

Bapa kepada empat anak itu berkata, seseorang yang ingin mempelajari ilmu pembuatan keris perlu menguasai asas pembuatan parang terlebih dahulu dan tidak ada jalan pintas.

Jelasnya, proses pembuatan parang hampir sama dengan pembuatan keris namun ia kurang merumitkan.

“Jikalau mahu buat parang kita perlu meleburkan besi baja sahaja dan ia tidak memerlukan bahang bersuhu tinggi.

“Dalam tempoh seminggu sudah boleh siapkan tiga bilah parang, termasuk ukiran pada hulu dan sarung berbanding keris,” katanya.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 7.31.29 PM
BESI yang dilebur akan ditempa menggunakan alatan yang bersesuaian bagi membentuk lok (lekuk) pada sebilah keris.

SENI HALUS TERIMA PERMINTAAN BERTERUSAN

Tidak disangka, seni persenjataan Melayu itu mempunyai peminatnya tersendiri sehinggakan karya dihasilkan di Bengkel Laman Variasi itu pernah menerima tempahan dari pembesar negeri seperti dari Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Malah Zainudin berkata, setakat ini dia sedang melakukan persiapan bersama rakan-rakannya yang lain bagi menyiapkan sebilah keris untuk dijadikan cenderahati buat Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob.

“Harga keris ini bergantung kepada proses pembuatan dan seni halus ukiran, kebiasannya kita menerima tempahan daripada Negeri Melaka, Selangor dan Johor.

“Kalau sebilah keris biasa kita boleh jual sekitar RM800 namun jika permintaan itu memerlukan seni ukiran halus harga boleh mencecah RM1,300 hingga RM1,800.

“Permintaan keris juga bergantung kepada jenis hulu diminta, kita boleh mengukir pelbagai jenis hulu antaranya Jawa Demam Ayam Teleng, Ulu Bugis, Ulu Jawa, Ulu Tanjung, Patah Tiga dan pelbagai lagi.

FALSAFAH ORANG LAMA JADI PAKSI UTAMA

“Hidup berpunca, punca rahsia, tajam bukan untuk tikam lawan, lilit bukan untuk rebahkan kawan, hidup berpegang kepada Islam, Iman dan Ehsan,” itu falsafah orang lama yang menjadi pegangan Zainudin setelah diturunkan ilmu warisan itu kepadanya.

Sehingga kini, Zainudin menaruhkan harapan tinggi kepada anak jati Melayu negeri ini untuk terus kekal bersama menyokong dalam mewariskan seni halus Nusantara itu agar ia tidak terus dilupakan.

WhatsApp Image 2022-09-30 at 7.32.30 PM
BESI pamor yang dililit bersama besi baja yang perlu berada di tengah tengah merupakan teknik asas sebelum proses pelebutan besi dilaksanakan.

Bagi mengekalkan warisan itu, beliau bersedia dan ‘membuka pintu’ bengkelnya khususnya anak muda untuk menuntut bersamanya agar diwarisi sehingga kepada generasi yang akan datang.

“Warisan ini merupakan satu perkara yang kita tidak boleh elak kerana ia perlu betul-betul ada di dalam jiwa, kalau jiwa tidak ada benda itu kalau diturunkan pun ia pastinya akan separuh jalan.

“Pak Cik alu-alukan kepada sesiapa saja khususnya dalam negeri ini yang berminat untuk diturunkan ilmu ini kepadanya, silalah datang ke sini, saya jemput segala hormatnya…Pak Cik akan ajar apa yang Pak Cik tahu, Pak Cik tak pandai kerana Pak Cik pun masih belajar, nak cari kepuasan jangan letakkan diri kita ini pandai kerana nanti perkara itu akan rosakkan perjalanan.

“Kalau orang yang Pak Cik ajar itu lebih pandai dari Pak Cik lagi baik, tak semestinya yang tua itu pandai yang muda itu tidak bijak, Insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5557
Kongsi :
Previous post Enam lagi Rumah Prihatin diluluskan
Next post Pesta Deepavali 2022 dari 8 hingga 24 Oktober
Ubah saiz-+=