Sorting by

×

Laman Sebang ‘port’ riadah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

GADEK 9 Oktober – Taman rekreasi Laman Sebang yang baru siap dibina bakal menjadi kawasan tumpuan penduduk sekitar Pulau Sebang beriadah bersama keluarga apabila akan dibuka pada awal bulan hadapan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kerja pengindahan taman rekreasi seluas 0.81 hektar itu dimulakan pada Julai lalu dan sudah berada di fasa akhir sebelum dibuka kepada orang ramai.

“Kerja pengindahan itu dilakukan oleh MPAG bersama Jabatan Landskap Negara dengan membabitkan kos kira-kira RM500,000 dan apabila dibuka kelak ia akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar untuk menjalankan riadah serta program kemasyarakatan.

“Antara fasiliti yang terdapat di Laman Sebang adalah sebuah pentas, dataran, gelanggang serbaguna, taman permainan dan juga alatan senaman. Dengan semua kemudahan yang ada ini ia akan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, selain Laman Sebang, MPAG turut giat melakukan beberapa lagi pengindahan landskap dibawah kawasan pentadbirannya bagi menceriakan suasana sekitar sekaligus memberi reaksi positif bukan sahaja kepada rakyat Melaka tetapi juga buat pelancongan yang datang.

“Kita juga akan menaiktaraf landskap di pintu-pintu masuk utama ke Melaka khususnya di daerah Alor Gajah antaranya di Simpang Ampat, Cherana Putih, Kuala Linggi, Lubok China dan juga Tebong,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam berhasrat menjadikan Laman Sebang sebagai antara kawasan tarikan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Dengan adanya kawasan reakrasi ini ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar malah akan menjadi lokasi tumpuan kepada pelancong yang datang ke Gadek,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5210
Kongsi :
Previous post Kerajaan teruskan latihan PLKN, akan jalani latihan di kem tentera
Next post 40 wartawan sambilan Melaka terima tajaan caruman Perkeso
Ubah saiz-+=