Sorting by

×

‘Lama terkurung, saya dan keluarga nak makan apa?’

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

MASJID TANAH 22 Jun – “Sejak ‘lockdown’ dikuatkuasakan, saya langsung tidak dapat keluar mencari rezeki untuk keluarga. Sudah hampir sebulan terkurung begini, saya dan keluarga nak makan apa?”

Demikian luahan tukang kasut sepenuh masa, Zahuri Umar, 46, mengenai nasibnya yang bagai jatuh ditimpa tangga sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang menyaksikan perkhidmatannya tidak dibenarkan beroperasi.

ZAHURI.

Zahuri berkata, jika dahulu dia memperoleh sekitar RM30 hingga RM100 sehari dengan membaiki kasut, beg kulit dan tali pinggang di Masjid Tanah, namun kini sumber pendapatannya hilang sekelip mata.

“Adakalanya saya terpaksa meminjam daripada orang lain demi membeli makanan dan barangan keperluan rumah untuk isteri, anak perempuan dan ibu saya yang sudah tua.

“Malah, pernah juga kami hampir dihalau keluar kerana sewa rumah tertunggak beberapa bulan. Mujurlah adanya bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) membolehkan saya menyelesaikan tunggakan secara beransur-ansur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Justeru, beliau yang mewakili suara komuniti tukang kasut seluruh Melaka merayu agar kerajaan membuka mata dan mempertimbangkan semula kebenaran untuk mereka beroperasi semula.

Meskipun menyedari pendapatan yang diraih tidak semewah mana, namun, dia baginya sedikit sebanyak ia cukup untuk menampung perbelanjaan seharian tanpa perlu meminta ihsan sesiapa.

“Kami pun nak hidup seperti orang lain. Kami pun ada keluarga dan nak hidup juga. Jadi kita minta sangat kerajaan dapat beri kelonggaran untuk saya bekerja semula seperti biasa.

“Kalau kerajaan negeri tidak dapat beri kelonggaran, tak apalah, tetapi sekurang-kurangnya hulurkanlah bantuan sama ada dari sudut kewangan ataupun barangan makanan.

“Kami bukannya ramai. Ada sekitar 30 orang sahaja tukang kasut di negeri ini. Kalau tak banyak sedikit pun jadilah. Kalau tak boleh beri banyak kali, beri sekali pun cukup untuk kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, Mohd Nasrul Menhat ketika dihubungi berkata, khidmat membaiki kasut sehingga kini masih tertakluk dalam kategori perkhidmatan yang tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kuasa ketika ini untuk melonggarkan kebenaran perkhidmatan itu memandangkan ia termaktub dalam dasar ditetapkan sepanjang PKP.

“Kita tidak tahu bila kebenaran itu akan diberikan kerana sepanjang PKP penuh ini setiap kelonggaran tertentu akan diberikan secara berfasa.

“Perlu faham, perkara ini sudah termaktub dalam dasar dan untuk mendapatkan kelonggaran tertentu, semua itu hanya akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat khas sebelum diumumkan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post KPM cadang murid kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal
Next post Keperitan hidup mualaf
Ubah saiz-+=