Sorting by

×

Lakukan ujian kendiri sebelum balik kampung- Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyarankan mereka yang ingin pulang ke kampung agar menjalani ujian kendiri COVID-19 sebelum melakukan perjalanan rentas negeri.

Beliau berkata mereka yang berada dalam persekitaran mobiliti tinggi dan bertemu orang ramai digalakkan membuat ujian COVID-19 secara berkala.

Khairy menerusi ciapannya dalam Twitter hari ini berkata, hanya berbaki 1.6 peratus sebelum Malaysia mencapai sasaran 90 peratus untuk membuka sempadan negeri.

“Kini Kementerian Kesihatan sudah beralih ke ujian simptomatik…jika anda ingin pulang ke kampung menziarahi orang tua, lakukanlah ujian air liur RTK. Jaga keselamatan mereka,” katanya.

Berdasarkan portal COVIDNOW, sebanyak 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam, tinggal kurang daripada dua peratus untuk mencapai sasaran 90 peratus.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila mencapai 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

Dalam ciapan lain, Khairy berkata apabila negara memasuki fasa endemik, semuanya bergantung kepada tanggungjawab dan tingkah laku individu itu sendiri.

“Apabila kita memasuki fasa endemik, kita tidak boleh melakukan seperti sekatan jalan raya untuk melihat sekiranya anda sudah lengkap divaksin atau belum. Saya percaya kita boleh menghadapi cabaran dalam #ReopeningSafely,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post Tiada masalah syarikat swasta tawar khidmat Internet melalui satelit- Zahidi
Next post Setiap negeri disaran sediakan peta risiko rencana
Ubah saiz-+=