Laksana piagam ICOMOS, jaga tapak warisan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 13 Ogos – Seminar Sustainable Cultural Heritage Tourism Roundtable: Melaka 2024 adalah inisiatif pertama dilaksanakan di Asia bagi mengoperasikan Piagam Antarabangsa tentang Pelancongan Warisan Budaya yang dihasilkan International Council on Monuments and Sites (ICOMOS).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata pengoperasian piagam terbabit adalah untuk digunapakai dan diaplikasikan terutamanya dalam merancang serta menguruskan pelancongan di tapak-tapak warisan bagi tujuan memelihara warisan.

Katanya, seminar berkenaan dianjurkan ICOMOS Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Melaka World Heritage.

“Saya percaya hasil daripada seminar ini boleh dijadikan asas kepada kerangka Pelan Pengurusan Pelawat di Tapak Warisan Dunia khususnya Tapak Warisan Dunia Melaka dan tapak warisan yang lain.

“Seminar ini juga dapat mengangkat imej Tapak Warisan Dunia Melaka sebagai model untuk membangunkan kerangka pengurusan pelawat kepada tapak warisan lain di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

“Secara tidak langsung mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan mampan yang mengutamakan pemuliharaan warisan dan pemerkasaan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Seminar Sustainable Cultural Heritage Tourism Roundtable : Melaka 2024 di Muzium Sejarah dan Ethnografi, Bangunan Stadthuys, pada Ahad.

Hadir sama, Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah; Presiden International Cultural Tourism Committee ICOMOS, Fergus Maclaren dan Presiden ICOMOS Malaysia, Faisal Abd Rahman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata seminar itu juga dilihat boleh menjadi platform membina rangkaian antara pemegang-pemegang taruh yang pelbagai termasuk mewakili industri pelancongan, pengamal dan pakar konservasi, perancang profesional serta agensi Kerajaan.

“Kita juga melihat seminar ini pasti dapat meningkatkan kapasiti dan kefahaman pemegang taruh tentang amalan terbaik dalam mengimbangi pelancongan serta konservasi warisan.

“Peserta seminar datang daripada pelbagai sektor dan menerusi program ini akan menghasilkan idea selain pendapat mampu memacu industri pelancongan warisan budaya di Melaka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

63
Kongsi :
Previous post Pegawai masjid perlu perkasa ilmu pentadbiran, pengurusan
Next post Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah menurun pagi ini
Ubah saiz-+=