LAKSANA PELBAGAI INISIATIF, PROJEK UNTUK KESELESAAN NELAYAN
SERI NEGERI 31 Disember – Peruntukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM1.8 juta disalurkan bagi melaksana pelbagai projek menaik taraf infrastruktur serta menyediakan kemudahan untuk nelayan di Melaka sepanjang 2024.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, secara keseluruhan sebanyak RM1,866,000 diperuntukkan untuk memberikan keselesaan kepada komuniti nelayan.
Mengulas lanjut Dr. Muhamad Akmal berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM890,000 pula dibelanjakan bagi manfaat nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
Katanya, sebagai agensi bertanggungjawab, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga sentiasa menjaga kebajikan nelayan dengan menyediakan beberapa bantuan khas untuk mereka.
“Agihan RM890,000 itu ia disalurkan kepada sembilan pangkalan nelayan di Pantai Kundor bagi melaksanakan kerja naik taraf seperti membina bangsal pukat, bangsal parkir sampan dan menyediakan kemudahan mesin penarik sampan serta memasang lampu solar.
“Sementara itu antara bantuan disediakan oleh LKIM pula adalah pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan, Program Skim Subsidi Petrol dan Diesel kepada nelayan yang layak selain bantuan peralatan seperti bot, jaring serta enjin.
“Selain itu LKIM juga turut menyediakan bantuan baik pulih dan bina rumah baharu nelayan termasuk penyediaan pelbagai geran di bawah Program Pembangunan Usahawan Industri Makanan dan Asas Tani,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimauberkata demikian ketika menjawab soalan Tuminah Kadi @Mohd Hashim(BN-Pantai Kundor) pada Persidangan Ketiga (Bajet) pada Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, Jabatan Perikanan negeri juga sentiasa memberikan tumpuan dalam meningkatkan taraf hidup nelayan dengan melaksanakan pelbagai program yang lebih inklusif meliputi komponen pemindahan teknologi perikanan, transformasi nelayan serta bantuan ‘touch point’.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada nelayan terlibat di bawah program utama Jabatan Perikanan iaitu program myKomuniti Perikanan (myKP), myAgropreneur Perikanan (myAP) dan Ketua Jaringan Perikanan (KJP)Â selaras bertujuan untuk mengeluarkan nelayan dari kepompong kemiskinan.
“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2024 sebanyak RM588, 400 diperuntukkan kepada myKP di Melaka membabitkan 234 buah myKP dengan 6,239 peserta dan ini termasuk juga RM322,600 disalurkan khusus untuk myKP yang berada di Melaka Selatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.