Sorting by

×

Laksana Op Bersepadu, bantu aliran trafik musim perayaan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan menjalankan Op Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina sepanjang bulan Februari ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata operasi sekatan jalan raya itu akan dilaksanakan di lapan lokasi ‘hotspot’ yang sering berlaku kemalangan.

Selain itu katanya, sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina, JPJ Melaka turut memfokuskan mengadakan ops tersebut di lokasi pelancongan sekitar negeri ini.

“Selain dari lokasi tumpuan pelancong, kita juga akan menjalankan ops di seluruh kawasan meliputi tiga daerah di negeri ini.

“Tujuan ops ini adalah bagi memastikan kelancaran trafik dan masyarakat tidak melakukan kesalahan melibatkan kenderaan mereka seterusnya jalan raya.

“Manakala Larangan Kenderaan Berat pula akan dilaksanakan pada dua hari sebelum serta dua hari selepas iaitu pada 8,9,12 dan 13 Februari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Tahun 2024 di Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Bukit Beruang, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron dan Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Mohd Sharif.

Hameed turut memaklumkan sepanjang musim perayaan pada bulan ini, kira-kira 2 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya.

Img 6003
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Pengangkutan Negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer menyampaikan sumbangan topi keledar kepada penerima sumbangan sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Japerun Ayer Keroh dengan kerjasama MKJR Dan JPJ Negeri Melaka di Dewan MPHTJ , Bukit Beruang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu dalam majlis tersebut sebanyak 100 topi keledar diberikan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) kepada penunggang motosikal masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh.

Turut disampaikan sumbangan kit makanan dan kepada 100 orang golongan B40 berbangsa Cina yang akan menyambut perayaan itu tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

925
Kongsi :
Previous post Skuad sepak takraw Melaka sasar buru kemenangan STL 2024
Next post 1,000 tanglung, naga gergasi di Jonker Walk
Ubah saiz-+=