Lajim meninggal dunia akibat COVID
KOTA KINABALU 29 Ogos – Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ di sini, pagi ini.
Perkara itu disahkan isterinya Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia jam 6.23 pagi tadi.
Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.
“Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 24 Ogos lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.
Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.
Lajim adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.
Alllahyarham juga pernah menjadi timbalan menteri pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 2009 hingga 2012.
Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.