Lahirkan lebih ramai generasi muda berkemahiran
MERLIMAU 17 Januari – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) disaran untuk terus konsisten mempergiat hubungan baik kerjasama dua hala antara pemegang taruh termasuk Kerajaan Negeri dan pemain industri dalam pendidikan TVET.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu secara tidak langsung mampu mengarus perdanakan TVET dalam memastikan negara memiliki lebih ramai generasi muda berkemahiran.
Beliau turut menyatakan komitmen dalam menyelesaikan isu-isu membabitkan infrastruktur PMM supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berterusan dengan suasana kondusif dan selesa kepada pelajar.
“Saya harap hubungan baik PMM dengan semua pemegang taruh termasuk pemain industri dapat diteruskan termasuklah dengan Kerajaan Negeri.
“Ia merupakan langkah kondusif bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang berkualiti, seterusnya mengangkat TVET dan memastikan negara memiliki lebih ramai generasi muda berkemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan simbolik Sambutan 20 Tahun penubuhan PMM, di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah PMM, Norizam Sekak.
Sementara itu, Norizam memaklumkan, pada majlis itu, beliau turut menyampaikan taklimat ringkas serta hala tuju PMM kepada Dr. Zambry dalam menjayakan pelan strategik 2024-2030 yang menyokong pemerkasaan gagasan TVET negara.
“Dalam peluncuran sambutan 20 tahun penubuhan PMM, tiga program lain turut diperkenalkan antaranya TVET On Campus, Polytechnic Social Responsibility (PSR) dan Sistem Merit.
“Kesemua program ini merupakan agenda baharu PMM dan akan terus diperkasakan bermula tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.