Lahir ramai banduan berkemahiran, pencapaian membanggakan Jabatan Penjara
KAJANG, 9 Jun – Pencapaian Jabatan Penjara Malaysia yang berjaya melahirkan ramai banduan berkemahiran disifatkan sebagai satu tahap membanggakan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata perkara itu dapat dibuktikan dengan pengiktirafan Jabatan Penjara di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2021 kali ke-5 yang dinobatkan Lifetime Achievement for Contribution to the Sustainable Development of Craft Sector and Social Inclusion dan penyertaan di London Craft Weeks Mei lepas yang mempamerkan hasil tenunan penghuni penjara.
Menurutnya Jabatan Penjara kini mengalami transformasi daripada pelbagai aspek iaitu tahanan, rawatan, layanan mahupun pemulihan menerusi program yang dapat memberi manfaat kepada banduan dan juga masyarakat.
“Kita nampak dari segi peningkatan perkara dilakukan Jabatan Penjara sudah mencapai satu tahap boleh dibanggakan kerana ramai penghuni penjara sudah mula diberikan kemahiran baharu yang boleh digunakan selepas keluar dari penjara.
“Ini sesuatu yang baik sekali dan saya difahamkan dengan ada program seperti ini jumlah mereka yang kembali ke penjara itu juga sudah menurun,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 243 pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara di Auditorium Jabatan Penjara di Kajang, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata transformasi Jabatan Penjara melibatkan pelbagai aspek utama iaitu keselamatan, pemulihan, layanan dan rawatan, reintegrasi serta percubaan dan koreksional komuniti.
Beliau berkata kerjasama pengusaha dan pemilik pelbagai sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang menyediakan asrama di luar penjara yang boleh disifatkan sebagai ‘Pusat Koreksional Komuniti’ mampu menghasilkan Orang Diparol, Orang Diselia, Orang Bebas Berlesen serta bekas banduan yang menyertai Program Penempatan Semula.
“Penjara termasuklah bagi zon tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai jumlah penghuni paling ramai berbanding zon lain iaitu melebihi 16,000 orang atau 26.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni (61,435 orang).
“Walau bagaimanapun melalui usaha dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berasaskan latihan pekerjaan serta jaminan pendapatan untuk banduan dan bekas banduan memulakan kehidupan sebenar membolehkan kadar residivis (jenayah berulang) bagi keseluruhan banduan yang menyertai program pemulihan di luar penjara hanyalah 0.39 peratus,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.