Lahir belia berkualiti, patriotik

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MASJID TANAH 20 Ogos – Melahirkan belia berwawasan dan memiliki semangat patriotik amat penting bagi memastikan negara tidak ketandusan pemimpin yang berkualiti serta berjiwa besar.

Menganggap belia sebagai aset negara, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menggalakkan orang muda khususnya di Negeri Melaka untuk aktif berpersatuan kerana ia adalah antara batu loncatan untuk mereka terus maju.

Katanya, persatuan bukan sekadar medium menghindarkan belia daripada hanyut dengan perkara negatif, sebaliknya pengalaman sepanjang aktif dan mengikuti aktiviti dianjurkan sebenarnya mendidik orang muda untuk menjadi seorang pemimpin berkualiti.

“Belia adalah penjana masa hadapan negara. Dalam kalangan belia ini akan lahir pemimpin negara, berikutan itu saya minta orang muda untuk aktif dalam persatuan tidak kira apa juga jenis persatuan.

“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut menyediakan dana tertentu untuk menyokong aktiviti belia. Bukan sahaja berpersatuan, saya harap belia ambil peluang tawaran dalam bidang pendidikan disediakan kerajaan seperti profesional, semi profesional atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menjamin masa depan mereka,” katanya

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringat Negeri Melaka 2023 (HBN23) di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sambutan itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam serta Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff.

Turut hadir Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka Khairul Adri Rosli dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Ab Rauf berkata, sambutan turut diselitkan dengan unsur patriotik dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia serta kibaran Jalur Gemilang.

Selain itu beliau ketika berucap secara spontan mempelawa belia untuk menyumbangkan pantun bertujuan untuk menyemarakkan lagi penggunaan dan memartabatkan seni warisan bangsa itu dalam kalangan orang muda.

“Program seperti ini juga amat bagus untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan belia. Alhamdulillah ribuan belia seluruh Negeri Melaka berkumpul pada sambutan kali ini dan bagi saya ia memberikan impak amat bagus untuk mereka (belia),” katanya.

Pada program sama Ab Rauf turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia negara 2023 Peringkat Negeri Melaka membabitkan kategori lelaki, wanita dan persatuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1457
Kongsi :
Previous post Pidato Rukun Negara TYT Yang di-Pertua Negeri tarik lebih 3,000 penyertaan
Next post ‘Car free zone’ disambut baik peniaga
Ubah saiz-+=