Sorting by

×

LAHIR BAKAT MASA DEPAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – BeDigital Bootcamp yang dianjurkan PETRONAS kini diperluaskan ke wilayah selatan tanah air dalam usaha memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang kemahiran digital.

Program berkenaan bukan hanya bertujuan menambah ilmu, bahkan membantu pelajar meningkatkan prospek pekerjaan, meningkatkan kebolehpasaran serta meneroka bidang keusahawanan digital.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, BeDigital Bootcamp yang menekankan kecekapan digital, memainkan peranan penting dalam mempersiapkan bakat-bakat baharu untuk menghadapi pasaran kerja yang kompetitif, sekali gus membentuk masa depan negara yang lebih cerah.

“Saya amat teruja dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh PETRONAS, rakan kongsi mereka, jurulatih, dan pelajar dari Wilayah Selatan yang secara aktif terlibat dalam program ini. Inisiatif seperti ini adalah sangat penting dalam memajukan pembangunan bakat dan merealisasikan visi negara kita.

“Untuk memajukan negara kita, adalah penting untuk memupuk minda yang ingin tahu, kemahiran yang siap menghadapi masa hadapan, dan semangat untuk terus maju,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, program berkenaan telah disertai seramai 100 pelajar tahun akhir dari lima buah universiti awam di selatan Semenanjung Malaysia iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka dan Johor.

Menurutnya, program selama 12 hari itu memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek kemahiran digital seperti teknologi kepintaran pembuatan (AI) dan keselamatan siber, serta ‘shark tank’ untuk meningkatkan kemahiran penyampaian peserta.

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan BeDigital Bootcamp ke Wilayah Selatan, sekali gus memperkukuhkan dedikasi PETRONAS dalam membangunkan modal insan selaras dengan matlamat ekonomi digital negara.

“Kami yakin bahawa bakat yang dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah aset terbesar, yang akan membentuk masa depan dengan kemahiran dan dedikasi mereka. Modul-modul program ini direka dengan falsafah ini sebagai panduan.

“Kami berharap program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran profesional peserta, tetapi juga memperkasakan mereka untuk menjadi penyumbang proaktif kepada kemajuan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post 3 KEPERIBADIAN KETUA MENTERI MELAKA DIKAGUMI ‘YB MAT’
Next post 14 JALAN, PERSIMPANGAN DITUTUP SEMPENA SAMBUTAN MERDEKA MELAKA
Ubah saiz-+=