Sorting by

×

LADANG NANAS PREMIUM KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Berkonsep mendidik pengunjung mengenai pertanian nanas, Ladang Nanas Fionanas, Nusa Dusun di sini, antara lokasi istimewa yang tersembunyi di Kuala Linggi.

Meskipun lokasinya agak terpencil dalam kawasan Nusa Dusun, iaitu berhampiran sempadan Melaka-Negeri Sembilan, namun kehijauan dan keindahan pemandangan di kawasan terbabit mencuri perhatian.

Berkonsep ladang dalam taman, ditambah dengan seni bina kayu menggunakan elemen tradisional moden pada kafe, rumah tinjau, kediaman serta pelbagai lagi kemudahan menjadikan kawasan itu sebagai destinasi agropelancongan yang berpotensi.

Pengarah Eksekutif Fionanas, Iskandar Zulkarnain berkata, ladang nanas dengan keluasan 0.4 hektar itu telah diusahakannya bersama isteri, Fiona Tahir sejak enam tahun lalu.

Sehingga kini, jelasnya, Fionanas telah menjadi pengeluar nanas Premium MD2 dan lebih membanggakan beberapa produk berasaskan nanas yang dihasilkan mereka turut mendapat tempat dalam pasaran dalam dan luar negara.

“Apabila perusahaan nanas ini semakin mendapat sambutan, permintaan juga semakin tinggi dan pengeluaran serta proses juga perlu seiring.

“Kami di Fionanas mahu mengembangkan lagi ladang nanas ini sekurang-kurangnya penambahan lagi 0.6 hektar untuk mengangkat tempat ini sebagai lokasi Agropelancongan Kuala Linggi.

“Jadi kami juga sudah mengusulkan dan berkongsi isu dihadapi kami di Fionanas seperti mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan jentera atau mesin memproses nanas.

“Hasil lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sedikit sebanyak menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) ini, ia sedikit sebanyak membuka ruang dalam mencapai solusi,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terbaharu perusahaannya, Iskandar memaklumkan, Fionanas kini sedang dalam kajian untuk mengeluarkan produk baharu berasaskan nanas.

“Antara produk yang sedang kita bangunkan adalah Ayam Goreng Nanas, di mana daripada rempah, perapan, sos mayonanas dan segala pembuatan kita menggunakan inovasi berasaskan nanas.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat percubaan pemasaran dan jika diberi ruang dan peluang kami akan mencuba untuk memasarkan di Melaka dan lokasinya sudah pasti di kawasan pelancongan utama Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post ANAK ASAHAN ‘MASUK JAWI’ DAPAT SIJIL
Next post LUBUK KERIANGAN KAKI PANCING ADA DI KUALA LINGGI