Sorting by

×

Labur wang simpanan demi pastri

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KESIDANG 5 Mei – Kerana minat mendalam terhadap bidang pastri dan pernah berazam untuk membuka kedai makan sendiri, seorang pekerja swasta sanggup melaburkan RM 70,000 wang simpanannya.

Berbekalkan 11 tahun pengalaman, Mohd Khalid Abdul Rahman, 60, berkata, dia mempertaruhkan bakatnya untuk membuka sebuah kafe berkonsepkan ‘Santai Rahmah’.

Mohd Khalid berkata bagi melancarkan urusan kafe dia dibantu adiknya, Ahmad Nasaruddin, 50.

Menurutnya, Allid’s Cafe yang mula beroperasi secara rasminya baru-baru ini menawarkan pelbagai pastri pilihan pastri selain roti, biskut, ‘sandwich’ dan menu tempatan.

“Bagi memastikan kafe kami terus berdaya saing, semua menu ini ditawarkan pada harga berpatutan termasuk memperkenalkan Menu Rahmah Asam Pedas ikan kembung atau pari beserta minuman pada harga hanya RM5.

“Bagaimanapun, buat permulaan ia hanya ditawarkan pada setiap Jumaat. Pelanggan juga boleh menikmati menu lain seperti nasi lemak ayam berempah, ayam rendang, sotong, rendang daging, mi dan bihun goreng selain lontong pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pembukaan kafe berkenaan di Taman Merdeka Jaya, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya pelanggan juga boleh mencuba nasi ayam penyet presto selain spagetti bolognese, spagetti karbonara dan pelbagai pilihan pastri.

Menurutnya, buat permulaan, kafe itu akan beroperasi setiap hari bermula dari 7 pagi hingga 8 malam.

“Selain itu, kami juga menyediakan produk pastri sejuk beku untuk dibekalkan di sekolah-sekolah asrama dan usahawan tempatan selain mengharapkan pelanggan di kafe,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1716
Kongsi :
Previous post Pekerja hotel Labuan maut terkena renjatan elektrik tiang lampu
Next post UTeM dan LZJT perkasa TVET
Ubah saiz-+=